top of page

Kontraktor gagal siapkan projek ikut jadual dikenakan tindakan



TUARAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan kontrak kepada kontraktor yang gagal menyiapkan projek di bawah kementerian berkenaan, mengikut tempoh masa yang ditetapkan.


Menterinya Zuraida Kamaruddin, berkata satu unit pemantau baharu di bawah seliaan Timbalan Ketua Setiausaha KPKT akan diwujudkan bagi memantau secara lebih dekat dan telus semua projek di bawah kementerian itu, khususnya projek perumahan.


Katanya, berdasarkan laporan audit banyak projek di bawah kementerian tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan selain pengisian terhadap rumah yang siap juga tidak mengikut tempoh masa yang ditetapkan.



"Apa yang saya terkejut ada projek perumahan yang tidak mengikut tempoh masa sampai 15 tahun lewat dan itu melampau ....selain itu pengisian rumah yang siap juga sampai tiga tahun.


"Oleh itu kita kena pantau dan tegas terhadap kontraktor yang tidak mengikut masa dan kalau perlu dihentikan, kita akan hentikan kontrak berkenaan," katanya selepas melawat perjalanan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gayang II, dekat sini, hari ini.


Zuraida berkata, semua kontraktor yang melaksanakan projek di bawah KPKT seharusnya sentiasa memastikan perjalanan projek mengikut jadual yang ditetapkan.


"Kita tahu banyak masalah yang dihadapi mungkin ada kesilapan yang lampau, namun ia bukan menjadi alasan. Kita perlu lihat ke depan untuk pastikan projek berjalan lancar dan disiapkan," katanya.


Tambahnya, pengisian rumah PPR juga seharusnya dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan iaitu sebaik sahaja rumah berkenaan siap.


"Kita mahu nama pemohon dapat diperoleh satu tahun sebelum projek siap supaya nama mereka dapat ditapis dan membolehkan yang berjaya boleh terus tinggal di rumah berkenaan sebaik ia siap ," katanya.


Zuraida juga meminta jasa baik kontraktor untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua projek PPR yang mereka kendalikan bagi mengekang permasalahan berkaitan sampah, vandalisme, jenayah juga penderaan.


Mengulas mengenai lawatan itu, Zuraida berkata PPR Gayang II kini sudah 46 peratus siap dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Mei 2021.


"Namun kita sedar ada kelewatan pembinaan projek ini disebabkan penularan COVID-19, namun saya berpuas hati dengan perjalanan projek ini dan berharap ia dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.


"Sekiranya ada masalah yang timbul kontraktor perlu menghubungi kita dan pihak kementerian akan mengambil tindakan selanjutnya untuk memastikan projek ini dapat disiapkan," katanya. – BERNAMA



20 views
bottom of page