top of page

Kontraktor didenda RM20,000 benar PATI tinggal dalam premis


Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Seorang kontraktor didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana membenarkan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di premisnya.


Selain itu, tertuduh, Chuah Chen Ye, 33, turut berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.


Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta yang sama.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai penduduk tempatan membenarkan empat imigran haram iaitu tiga warga Bangladesh dan seorang warga Pakistan berusia antara 30 hingga 40 tahun tinggal atau masuk di sebuah tapak pembinaan di Kuala Berang, Hulu Terengganu, jam 10.45 pagi pada 23 September lalu.


Sementara itu, Nooriah turut menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap seorang lagi kontraktor kerana menggaji seorang pekerja lelaki warga Vietnam tanpa permit sah.


Tertuduh, Chin Sing Dioang, 54, turut berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.


Nooriah membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengambil seorang pekerja lelaki warga Vietnam berusia 35 tahun tanpa permit sah di sebuah tapak pembinaan di Kuala Berang, Hulu Terengganu, jam 10.45 pagi pada 23 September lalu.


Seorang lagi kontraktor yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sama mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membenarkan empat imigran haram warga Bangladesh berusia antara 22 tahun hingga 46 tahun berada di premisnya.


Tertuduh, Ahmad Aidil Adzaiha Zakaria, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di premisnya di tapak projek di Kuala Berang, Hulu Terengganu, jam 10.45 pagi pada 23 September lalu.


Sejurus pengakuan tidak bersalah Ahmad Aidil Adzaiha direkodkan, mahkamah menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.


Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kesemua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Noraznie Alias.



72 views
bottom of page