top of page

Kontraktor China kuasai industri pembinaan tempatan


29 Oktober 2019


KUALA LUMPUR: Kontraktor China menguasai industri pembinaan di Malaysia berbanding syarikat kontraktor asing lain, apabila jumlah projek yang dikendalikan oleh syarikat republik itu meningkat sekali ganda kepada 264 projek bernilai RM31 bilion bagi tempoh 2018 dan 2019.


Peningkatan itu jauh lebih besar berbanding 111 projek bernilai RM22.5 bilion yang dilaksanakan kontraktor China di negara ini pada 2017.


Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid, berkata rekod CIDB menunjukkan kontraktor China kini memiliki kontrak kerja yang jauh lebih besar dari segi jumlah dan nilai projek pembinaan dalam kalangan syarikat kontraktor asing.


Katanya, berdasarkan perangkaan 2013, syarikat China hanya berada di kedudukan kedua dengan 16 projek bernilai RM3.3 bilion selepas Jepun, sebelum melonjak menerajui pasaran menerusi 33 projek bernilai RM8.6 bilion mengatasi Korea Selatan dan Jepun .


“Pada 2017, syarikat China bukan hanya memiliki kehadiran terbesar di Malaysia, malah angka projek dan nilainya menyaksikan lonjakan yang sangat ketara.


“Angka terbabit menunjukkan betapa kritikalnya supaya kontraktor dari China perlu dilengkapi maklumat perundangan yang dikuatkuasakan di Malaysia, terutama membabitkan Akta 520 supaya aktiviti pembinaan dapat berjalan lancar,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Garis Panduan Kontraktor China di Malaysia, di sini, hari ini.


Hadir sama ialah Duta China ke Malaysia, Bai Tian.


Mengulas lanjut, Ahmad Asri berkata, CIDB merancang untuk menjalankan kajian kadar penggunaan pekerja, syarikat, dan profesional tempatan dalam projek dilaksanakan oleh syarikat China di Malaysia.


Katanya, ia bertujuan untuk mendapatkan gambaran lebih luas dan fakta sebenar penggunaan pekerja, syarikat, profesional serta bahan pembinaan tempatan oleh syarikat kontraktor dari China bagi menyusun strategi yang tepat dalam usaha meningkatkan pembabitan syarikat dan bahan Malaysia.


“Dalam majlis ini, saya menggesa kontraktor China supaya menggunakan kontraktor tempatan dalam bidang tertentu dan menggunakan bahan pembinaan dari Malaysia.


“Ini strategi menang-menang kerana apabila menggunakan bahan dan kemahiran tempatan, maka kos operasi mereka akan turun, lebih-lebih lagi kini (kos) barang dan pekerja dari China kebanyakannya lebih tinggi daripada tempatan,” katanya.



148 views
bottom of page