top of page

Kontrak pengendali monorel Melaka ditamatkan, langgar syarat perjanjian


Monorel Melaka. - Foto fail NSTP

MELAKA: Kontrak syarikat pengendali perkhidmatan Monorel Melaka yang terletak di Persimpangan Jalan Tun Ali di sini, ditamatkan kerana melanggar terma dan syarat perjanjian yang dimeterai bersama Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN), persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diberitahu hari ini.


EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis, berkata pelanggaran utama yang dilakukan syarikat berkenaan ialah menambah klausa dalam perjanjian yang dimeterai iaitu membangunkan 15 lot tanah di kawasan persekitaran Stesen Monorel Melaka.


"Klausa ini tidak ada dalam perjanjian asal yang ditandatangani bersama UPEN dan perjanjian ini dibuat pada 23 Ogos 2018... yang sepatutnya menjawab ialah Kerajaan Pakatan Harapan bukan kami.


"Mengapa ia dikaitkan dengan kewibawaan kerajaan sekarang sedangkan perjanjian ini dimeterai bukan di bawah kami," katanya ketika menjawab soalan tambahan Low Chee Leong (DAP-Kota Laksamana) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Negeri di sini.


Terdahulu, Chee Leong ingin mengetahui status Monorel Melaka yang menjadi antara ikon pelancongan negeri itu yang mula dibangunkan pada 2017 namun kini tidak beroperasi dan didakwa menjadi projek gagal kerajaan negeri.


Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata selain itu, syarikat berkenaan gagal membayar yuran komitmen sebanyak RM100,000 kepada UPEN bagi melaksanakan projek itu selain tidak membayar lima peratus daripada jumlah keuntungan atau minimum RM1,000 kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak kontrak bermula.


Beliau berkata syarikat berkenaan juga telah mengabaikan aspek keselamatan dalam mengendalikan perkhidmatan berkenaan, antaranya cermin hadapan bahagian pemandu monorel tidak mematuhi peraturan terpakai iaitu tidak jelas dan kabur, kabel dalam monorel terdedah, kunci pintu monorel tidak berfungsi, tiada penyelenggaraan pintu monorel dan lif di stesen itu tidak berfungsi.


"Banyak terma dan syarat yang telah dilanggar syarikat berkenaan dan kita di peringkat kerajaan negeri tidak boleh lagi bertoleransi dengan pelanggaran itu kerana ia bukan sahaja merugikan kerajaan tetapi turut membahayakan keselamatan orang awam," katanya.


Sementara itu, menjawab soalan lisan Chee Leong berkaitan pelan yang dirangka kerajaan negeri untuk membantu sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Muhammad Jailani berkata Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka telah melaksanakan program promosi berkonsep hibrid bagi tempoh enam hingga 12 bulan bermula Julai lalu.


Beliau berkata inisiatif promosi berkenaan turut membabitkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) pelancongan di dalam dan luar negeri itu.


Katanya antara program yang telah dan akan dilaksanakan ialah FB Live Relax @ Melaka dua kali sehari setiap Sabtu bermula 24 Julai lalu hingga 25 September ini, DiTTAM Virtual Travel Expo (27-29 Ogos), Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) Cuti-Cuti Malaysia Bersama Shopee Travel Fair 2021 (September), Program Go Malaysia Virtual Fair (8 dan 9 September) dan Virtual Tour oleh Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Melaka (setiap hujung minggu bermula Oktober hingga Disember). – BERNAMA


Sumber: Berita Harian

19 views
bottom of page