top of page

Kontrak ECRL kontraktor tempatan ditambah kepada 40 peratus


KUALA LUMPUR: Kontraktor tempatan dianggarkan bakal meraih kontrak bernilai sehingga RM10 bilion bagi kerja sivil pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata nilai kontrak itu berdasarkan kepada peruntukan 40 peratus berbanding 30 peratus untuk kontraktor tempatan seperti yang diumumkan sebelum ini.


Darwis berkata, berdasarkan Perjanjian Tambahan (SA) antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) yang telah dimeterai pada 12 April lalu menyaksikan peningkatan pembabitan kontraktor tempatan dalam kerja sivil ECRL.


“Penambahan kepada 40 peratus peruntukan kepada kontraktor tempatan bagi kerja-kerja sivil membolehkan lebih ramai untuk terbabit dalam projek infrastruktur mega negara ini.


“Tawaran tender untuk kontraktor tempatan akan bermula pada suku keempat ini,” katanya dalam temubual bersama BH baru-baru ini.


Sebanyak 331 syarikat kontraktor Malaysia disenarai pendek sebagai penender berpontesi melalui program Pra Kelayakan (Pre-Q) projek ECRL.


Panggilan penyerahan dokumen Pre-Q dibuka pada 29 dan 30 Mei lalu oleh CCCC dalam usaha mengenalpasti subkontraktor tempatan yang berpontensi mengambil bahagian dalam projek ECRL.


Syarikat yang berdaftar dengan CIDB dari Gred G3 hingga G7 dan yang mempunyai minimum skor 2 Bintang telah dipelawa dan digalakkan menyertai program Pre-Q ini.


Jawatankuasa Penilaian Pre-Q yang diwakili oleh MRL dan CCCC telah menyenarai pendek 331 atau 25.1 peratus daripada 1,321 syarikat kontraktor Malaysia yang berpotensi menjadi penender ECRL selepas menilai latar belakang syarikat, pengurusan kewangan, kakitangan teknikal serta loji dan peralatan syarikat yang mengambil bahagian dalam program Pre-Q berkenaan.


Katanya, daripada 331 syarikat pembinaan yang lulus saringan dan tersenarai sebagai penender berpotensi, syarikat yang dalam kategori gred CIDB G7 mewakili jumlah terbesar iaitu 164 syarikat disusuli dengan gred CIDB G4 iaitu sebanyak 69 syarikat.


Selebihnya adalah Gred CIDB G3 sebanyak 45 syarikat manakala G5 dan G6 masing-masing sebanyak 33 dan 20 syarikat.


Jawatankuasa Penilaian Pre-Q juga turut mengenalpasti 234 atau 70.7 peratus daripada 331 syarikat pembinaan yang dipilih adalah syarikat Bumiputera.


Mengulas lanjut, Darwis berkata, pakej tender 40 peratus kerja-kerja sivil (tidak termasuk kerja pembinaan terowong) akan dimulakan dengan pakej peringkat pertama untuk jajaran Dungun ke Mentakab atau Seksyen B sepanjang 223 km yang sudah dimuktamadkan.


Pakej peringkat seterusnya untuk Seksyen A (dari Kota Bharu ke Dungun) dan Seksyen C (dari Mentakab ke Pelabuhan Klang) akan dimulakan setelah jajaran dimuktamadkan pada pertengahan tahun 2020.


Menjelang akhir suku ketiga 2020, kerja kekal Seksyen A, B dan C dijangka bermula keseluruhannya dan pelawaan tender akan dilaksanakan oleh pihak Kontraktor EPCC secara berterusan sepanjang tempoh pembinaan ECRL.


Ketika waktu puncak pembinaan, projek ECRL dijangka membuka peluang pekerjaan kepada sehingga 23,000 orang.


Daripada jumlah itu, Darwis berkata, MRL menyasarkan 70 peratus pekerja adalah tenaga kerja tempatan manakala baki 30 peratusnya pula tenaga kerja dari China dan negara Asia lain.


“Bagi melaksanakan pembukaan peluang pekerjaan ini, MRL telah menjalankan rundingan semula pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) dengan pihak penaja utama program iaitu, CCCC.


“PLKI-ECRL yang baru akan turut terbabit dalam fasa operasi dan dianggarkan akan memberi manfaat kepada 5,000 pelatih tempatan berbanding 3,600 pelatih sebelum ini.


“Struktur baru akan lebih fokus kepada latihan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan semasa fasa pembinaan projek ECRL sementara kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi diteruskan bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang rel terutamanya dalam bidang pengoperasian dan penyelenggaraan.


“Perkara ini dijalankan setelah mengambil kira keperluan latihan tenaga kerja tempatan bagi fasa operasi ECRL yang juga memerlukan tenaga kerja yang besar bermula dari 2027,” katanya.


Darwis berkata, MRL dengan kerjasama CCCC juga akan mengadakan Jelajah Kerjaya pada tahun ini yang akan bermula di Kuantan, Pahang dan akan diperluaskan ke negeri terbabit yang lain bagi membantu mereka yang sedang mencari pekerjaan untuk turut serta dalam menjayakan projek ini.



19 views
bottom of page