top of page

Kontrak dalam tangan RM7.7 bilion perkukuh Sapura Energy


Kontrak dalam tangan RM7.7 bilion perkukuh Sapura Energy Berita Harian www.bharian.com.my
Semua segmen perniagaan Sapura Energy mencatatkan prestasi positif

KUALA LUMPUR: Margin keuntungan Sapura Energy dijangka kekal tidak menentu, namun pendapatan penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu akan disokong oleh baki nilai kontrak dalam tangan yang kukuh sebanyak RM7.7 bilion dan jumlah bidaan kira-kira RM24.4 bilion.


Penganalisis Public Investment Bank, Nurzulaikha Azali, berkata segmen penggerudian Sapura Energy dijangka memulakan operasi pada separuh kedua tahun kewangan 2023 menerusi kontraknya bersama


PTT Exploration and Production.


Beliau berkata, tinjauan terhadap Sapura Energy bagaimanapun kekal tidak menentu, dengan pendedahan terhadap kontrak warisan syarikat itu hanya akan dapat dikurangkan kepada 25 peratus pada suku keempat tahun kewangan 2023.


"Berikutan itu, pelaksanaan projek akan kekal mencabar berikutan persekitaran operasi yang sukar, khususnya bagi menguruskan kos projek-projek warisan dalam segmen kejuruteraan & pembinaan (E&C).


"Berikutan kos harga bahan mentah sedia ada yang tinggi, beberapa projek juga perlu ditangguhkan ke tahun depan," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Sapura mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM2.59 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022 daripada RM1.52 bilion pada tahun sebelumnya.


Penambahbaikan itu disumbangkan oleh peruntukan lebih rendah bagi kerugian terduga, kos projek dibelanjakan lebih rendah, kerugian yang rendah daripada syarikat bersekutu dan usaha sama, serta keuntungan pertukaran asing yang memberangsangkan pada suku berkenaan.


Sementara itu, perolehan meningkat 57 peratus kepada RM1.17 bilion daripada RM747.12 juta sebelum ini, disumbangkan terutamanya daripada perolehan tinggi yang diiktiraf daripada semua segmen perniagaan berikutan peratusan tinggi bagi penyiapan projek yang dilaksanakan dan peningkatan penggunaan pelantar pada suku semasa.


Nurzulaikha berkata, kerugian bersih lebih dicatatkan oleh Sapura Energy pada suku dikaji adalah disebabkan oleh keuntungan pertukaran mata wang asing sebanyak RM74.2 juta.


"Tidak mengambil kira ini (keuntungan pertukaran mata wang asing), kumpulan melaporkan kerugian bersih sebanyak RM76.9 juta, lebih baik berbanding kerugian bersih RM84 juta yang direkodkan pada suku terdahulu," katanya.


Beliau berkata, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Sapura Energy turut meningkat 25.2 peratus kepada RM312.5 juta, sejajar dengan prestasi positif dalam semua segmen iaitu E&C sebanyak RM38 juta, aset & penyelenggaraan (O&M) sebanyak RM47 juta dan penggerudian sebanyak RM150 juta.


"Ini kebanyakannya disumbangkan oleh penyelesaian komersial daripada kontrak tertentu dalam segmen E&C (kejuruteraan), tuntutan tambahan dalam segmen O&M (penyelenggaraan) selain penggunaan pelantar dan kadar harian yang lebih baik dalam perniagaan penggerudian," katanya.


Public Investment Bank mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham Sapura Energy dengan harga sasaran lima sen.


Sumber: Berita Harian

44 views

Commentaires


bottom of page