top of page

Konsortium Ranhill, Sabah Energy menang projek loji kuasa


Ranhill Utilities Bhd
Ranhill Utilities Bhd

Ranhill Utilities Bhd

KUALA LUMPUR: Ranhill Capital Sdn Bhd (RCSB), unit Ranhill Utilities Bhd, dimaklumkan oleh Suruhanjaya Tenaga (EC) bahawa konsortiumnya dengan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) memenangi bidaan untuk loji kuasa 100MW di Pantai Barat Sabah.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ranhill berkata projek itu membabitkan reka bentuk, pembinaan, pemilikan, operasi dan penyelenggaraan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 100MW secara binaan, miliki, kendalikan dan pemindahan.


Katanya, surat pemberitahuan (LON) telah dikeluarkan kepada konsortium yang tidak diperbadankan itu tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk menetapkan kapasiti bersih nominal loji itu pada 100MW dan tarikh operasi komersial (COD). selewat-lewatnya pada 1 Mac 2026.


"LON juga menetapkan bahawa syarikat tujuan khas (syarikat projek) perlu diperbadankan, dan pendaftaran syarikat serta dokumen berkaitan perlu dikemukakan kepada EC dalam tempoh dua bulan dari tarikh LON.


"Konsortium juga perlu mengekalkan pegangan saham yang efektif dalam syarikat projek untuk tempoh 10 tahun dari tarikh LON.


"Syarikat projek dijangka melaksanakan perjanjian pembelian kuasa (PPA) dan perjanjian penjualan gas dengan Sabah Electricity Sdn Bhd selewat-lewatnya tujuh hari selepas EC meluluskan draf akhir atau dua bulan dari tarikh LON, yang mana dahulu. Tempoh konsesi di bawah PPA menjangkau 21 tahun," katanya.


Ranhill berkata, syarikat projek juga dikehendaki mencapai tarikh tutup kewangan tidak lebih daripada lima bulan dari tarikh LON.


"Di samping itu, salinan asal Perisytiharan Pembida Berjaya yang ditandatangani perlu disempurnakan dan diserahkan kepada EC dalam tempoh tujuh hari dari tarikh LON.


"LON juga menyatakan bahawa konsortium perlu menyerahkan bon gantian kepada EC dalam tempoh 14 hari dan hendaklah sah dari tarikh LON sehingga satu bulan selepas tarikh tutup kewangan.


"Sementara itu, semua aspek teknikal dan komersial kekal tidak berubah, kecuali sebagaimana yang dipersetujui secara bertulis oleh kerajaan negeri Sabah, EC dan Sabah Electricity," katanya.


Pada 28 Februari 2022, EC mengeluarkan permintaan untuk cadangan (RFP) kepada RCSB dan SEC untuk cadangan pembangunan projek itu.


Sebagai tindak balas kepada RFP, kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) bertarikh 28 April 2022 untuk membentuk konsortium Ranhill-SEC dan mengemukakan bidaan pada 29 April 2022.


Selepas projek CCGT berdaya gas 100MW siap pada Mac 2026, loji baharu ini akan ditambah kepada loji janakuasa CCGT berkuasa gas sedia ada berjumlah 380MW, yang kini dikendalikan oleh Ranhill-SEC di Sabah.


Ranhill-SEC akan meneruskan penguasaannya sebagai pengeluar tenaga bebas terbesar di Sabah dengan jumlah kapasiti penjanaan 480MW.


Sumber: Berita Harian


 
 
 

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page