top of page

Konsolidasi fiskal terus diutamakan


Konsolidasi fiskal terus diutamakan Harian Metro www.hmetro.com.my
PRU-15 membawa ketidaktentuan kepada negara dengan Parlimen yang tergantung.

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang baru berakhir ini telah membawa ketidaktentuan kepada negara dengan Parlimen yang tergantung apabila tidak ada mana-mana parti yang mencapai majoriti mudah 112 untuk membentuk kerajaan.


Penganalisis Maybank Investment Bank Suhaimi Ilias berkata, kita tidak seharusnya menolak kemungkinan berlakunya pakatan yang 'tidak diduga'. Ini kerana walaupun kedengaran agak klise namun 'dalam politik segalanya boleh berlaku' dan 'tidak ada rakan dan seteru yang kekal dalam politik'.


Beliau berkata, kemungkinan lain adalah kerajaan 'minoriti' berikutan Parlimen tergantung atau kebuntuan dalam kalangan parti untuk membentuk kerajaan pakatan dengan majoriti mudah.


Katanya, senario itu akan membawa impak dan perubahan dasar dan akan menjadi tempoh tidak menentu kepada ekonomi dan pasaran.


Walau apa juga keputusannya, konsolidasi fiskal akan kekal menjadi keutamaan, walaupun laluan itu mungkin berbeza bergantung kepada parti atau pakatan mana yang menerajui kerajaan, katanya.


Daripada segi perbelanjaan kerajaan pula, langkah berorientasikan rakyat akan diteruskan terutama pemberian tunai kepada rakyat yang telah laksanakan sejak sebelum PRU-14 oleh kerajaan BN pada masa itu dan diteruskan menerusi pertukaran nama untuk mencerminkan kerajaan yang mentadbir.


"Apa yang kami jangkakan daripada segi pemberian tunai adalah bantuan lebih bersasar seperti penyusunan semula subsidi kepada mekanisme bersasar bagi sistem menyeluruh dan rasionalisasi pelbagai jaringan keselamatan sosial serta program kebajikan.


"Kami juga menjangka kerajaan pasca-PRU-15 meneruskan pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal yang dicadangkan dalam Bajet 2023," katanya.


Beliau berkata projek prasarana utama akan diteruskan bagi projek yang sedang dalam pembinaan – Laluan Rel Pantai Timur, Landasan Elektrik Berkembar Gemas-Johor Bahru (JB), Laluan Transit Rel JB-Singapura, Lebuh Raya Pan-Borneo projek Sabah-Sarawak Link Road - dan bagi projek yang tendernya telah bermula – Laluan Lingkaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3).


Di samping itu, peruntukan tinggi perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan kepada negeri kurang maju bagi prasarana asas juga dijangka diteruskan.


"Kerajaan Persekutuan baharu dijangka menumpu kepada menambah baik kualiti dan penyampaian perkhidmatan awam penting, terutama pendidikan, latihan dan penjagaan kesihatan serta merealisasikan aliran pelaburan lebih tinggi dan berkualiti ke negeri kurang membangun bagi pembangunan sosio-ekonomi lebih inklusif, setara dan seimbang," katanya dalam satu kenyataan.


Memandangkan kemampanan adalah prinsip yang diberi tumpuan utama pada ketika ini, mana-mana kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU-15 sudah tentunya akan menjadikannya sebagai agenda dasar utama terutama dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menjayakan komitmen Malaysia bagi menangani perubahan iklim.


Sumber: Harian Metro


Comentarios


bottom of page