top of page

Komuniti perniagaan Brunei digalak perkukuh jaringan dengan syarikat Malaysia


BANDAR SERI BEGAWAN: Komuniti perniagaan di Brunei Darussalam digalakkan memperkukuh jaringannya dengan syarikat Malaysia dan mengenal pasti bidang berpotensi untuk menjalin usaha sama di masa depan.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa menyarankan perkara itu berkata perkhidmatan dan produk yang berpotensi untuk diperluaskan termasuk dalam sektor halal, perabot, barangan perubatan, tenaga diperbaharui, perladangan bandar, minyak dan gas, pelancongan perubatan dan teknologi maklumat dan komunikasi.


Malaysia merupakan antara pelabur asing terbesar Brunei, katanya pada mesyuarat meja bulat dengan peneraju industri, di sini, hari ini.


Beliau berkata, pada 2017, Malaysia melabur hampir AS$500 juta (RM2 bilion) di Brunei.


Dr Wan Azizah berkata, pelaburan Malaysia di Brunei kebanyakannya dalam industri minyak dan gas, sektor perbankan dan kewangan dan pembinaan serta perkhidmatan kejuruteraan.

Beliau berkata, pelaburan Brunei di Malaysia adalah dalam sektor seperti hospitaliti, pembuatan produk kimia dan mesin dan peralatan.


Timbalan perdana menteri berkata setakat tahun lepas, Brunei merupakan rakan dagangan ke-36 terbesar Malaysia dan ketujuh terbesar dalam kalangan negara ASEAN.


Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Brunei pada tahun lepas meningkat sebanyak 45.9 peratus untuk mencecah AS$981.2 juta (RM3.9 bilion), meningkat daripada AS$672.6 juta (RM2.7 bilion) yang dicatatkan pada 2016, katanya.


Dr Wan Azizah berkata, di sebalik keadaan ekonomi global yang tidak menentu, jumlah dagangan Malaysia pada tahun lepas kekal berdaya tahan, berkembang 5.9 peratus untuk mencecah RM1.88 trilion (AS$474.77 bilion), berbanding RM1.77 trilion (AS$412.47 bilion) pada 2017.


Beliau berkata Malaysia mencatatkan lebih dagangan terbesar sejak 2012 berikutan eksport mencecah hampir RM1 trilion (AS$247.30 bilion) tahun lepas.


“Prestasi cemerlang ini membuktikan komitmen berterusan Malaysia dalam meningkatkan perdagangan antarabangsa dan mempromosikan dasar properniagaan dengan rakan dagangannya,” katanya.


Timbalan perdana menteri berkata, kerajaan baharu Malaysia kini dalam proses menyemak dan menilai semula dasar-dasar penting ekonomi negara dan merumuskan beberapa inisiatif baharu bagi membangunkan pelan ekonomi menyeluruh untuk memacu pembangunan negara pasca 2020.


Beliau berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menggesa ASEAN untuk meningkatkan perdagangan antara rantau sehingga kepada 30 peratus daripada 20 peratus ketika ini.


Katanya ini bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk memanfaatkan pelaburan yang semakin meningkat dalam perkumpulan serantau itu.


Dr Wan Azizah berkata, Malaysia dan Brunei akan memanfaatkan sepenuhnya inisiatif dua hala dan pelbagai hala untuk meningkatkan perdagangan seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia- Filipina (BIMP-EAGA). – BERNAMA


Sumber: Berita Harian


15 views
bottom of page