top of page

KKR sifatkan Belanjawan 2021 inklusif, berfokus


Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyifatkan Belanjawan 2021 adalah inklusif, berpaksikan dan memfokus kepada kesejahteraan rakyat meliputi semua bidang termasuk infrastruktur.


Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Belanjawan 2021 menyaksikan komitmen kerajaan dalam meneruskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Sabah termasuk Pakej Serusop ke Pituru yang menjadi 'missing link' sepanjang 21 kilometer.


Katanya, kerajaan juga meluluskan peruntukan RM3.8 bilion untuk projek pembinaan Jambatan Klang Ke-3 Fasa 2 di Selangor, meneruskan Projek Central Spine Road, menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Terengganu bagi laluan Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan.


Selain itu ia turut membabitkan menaik taraf Jalan Persekutuan menghubungkan Gerik, Perak ke Kupang, Lunas dan Kulim, Kedah, membina dan menaik taraf lingkaran Pulau Indah, Klang, Selangor Fasa 3 serta projek jalan pintasan Cameron Highlands, Pahang dengan penekanan langkah pemuliharaan alam sekitar.


"Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM681.4 juta untuk kos penyenggaraan bagi menambah baik kualiti Jalan Persekutuan dan bangunan di bawah kawalan KKR.


"Dalam masa yang sama juga KKR turut menggalakkan penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan di mana tempoh permohonan galakan elaun cukai pelaburan bagi pengeluar komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.


Pada Belanjawan 2021 secara keseluruhan, KKR menerima peruntukan RM7.348 bilion bagi tahun 2021 dengan bajet mengurus KKR yang diluluskan adalah sebanyak RM1.26 bilion berbanding RM1.792 bilion pada tahun 2020.


Bagi bajet pembangunan tahun 2021 yang diluluskan adalah sebanyak RM6.088 bilion berbanding RM6.240 bilion pada tahun lalu.


Katanya, KKR turut menyokong inisiatif-inisiatif lain seperti pengambilan pekerja di bawah PERKESO yang dikenali sebagai PenjanaKerjaya dengan penambahbaikan bagi sektor kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan serta menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 50 buah sekolah daif di Sabah dan Sarawak.


"Secara keseluruhan Belanjawan 2021 akan dioptimumkan untuk kesejahteraan setiap lapisan masyarakat dalam mempertingkatkan tahap kebolehcapaian rangkaian dan kesalinghubungan, sekali gus memperkukuhkan pembangunan ekonomi negara," katanya.



7 views
bottom of page