KKR sasar 80 peratus projek swasta capai skor IBS 70 menjelang 2025


KKR juga menetapkan sasaran inisiatif sebanyak 70 peratus daripada projek pembinaan swasta dan awam bernilai RM10 juta ke atas untuk mengguna sistem Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) menjelang Januari 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi inisiatif Sistem Binaan Berindustri (IBS) menyasarkan 80 peratus daripada jumlah projek sektor swasta bernilai RM50 juta ke atas untuk mencapai skor 70 IBS menjelang suku keempat (Q4) tahun 2025.


Timbalan Menterinya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata ia selaras dengan usaha KKR untuk menerapkan teknologi dalam proses kerja, piawaian dan mekanisme termasuk budaya perniagaan.


“KKR juga menetapkan sasaran inisiatif sebanyak 70 peratus daripada projek pembinaan swasta dan awam bernilai RM10 juta ke atas untuk mengguna sistem Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) menjelang Januari 2021.


“Teknologi BIM memberikan maklumat dan alat untuk perancangan, reka bentuk, pembinaan dan pengurusan projek pembinaan yang berkesan.


“Ia juga mengenal pasti dan menyelesaikan masalah pada masa yang sama, mengelakkan kesilapan, mengurangkan kos dan masa,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptamanya pada Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Kebangsaan 2020 di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur pada Rabu.


Untuk rekod, setakat Januari 2019, hanya 35 peratus projek pembinaan swasta di seluruh negara menggunakan IBS.


Selain itu, katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam proses menyelesaikan dan akan melancarkan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 bagi menyokong dan meningkatkan penggunaan teknologi dalam industri pembinaan.


“Kerajaan bersedia mengadakan perbincangan terbuka dengan pihak berkepentingan industri termasuk sektor hartanah berhubung perkara yang dapat kami bantu untuk mendorong pemain industri untuk sedia berdepan Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0).


“Ia dengan mencari jalan untuk membantu mereka melaksanakan automasi, kerja analisis dan Internet Segala Benda (IoT),” katanya lagi.


Sumber: Astro Awani


#evolusibina #KKR #IBS

2 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.