KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menyerahkan surat arahan pelaksanaan kepada Pejabat Daerah Semporna bagi pembinaan semula jambatan dan jeti Pulau Pababag dengan peruntukan sebanyak RM400,000.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap agar pembinaan jambatan dan jeti itu dapat dilaksanakan dengan segera.
“Ia adalah bagi membantu seramai sekurang-kurangnya 151 murid sekolah dan 35 murid Tadika Kemas ke sekolah serta penduduk kampung yang terjejas pergerakan harian mereka, akibat jambatan dan jeti yang telah runtuh tempoh hari,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini mengesahkan dua murid cedera ringan dalam insiden jeti roboh yang berlaku pada pukul 6.45 pagi, 30 Januari lalu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, beliau berada di Sabah bagi meninjau keadaan banjir di Pitas pada hari yang sama dengan kejadian jeti roboh itu.
Beliau telah dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan.
“Saya difahamkan pada ketika itu, terdapat 35 murid sekolah dan dua guru dari kampung sekitar yang baru tiba di jeti untuk ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pababag sekitar pukul 6.20 pagi,” jelasnya.
Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengarahkan KKDW untuk segera berhubung dengan Pejabat Daerah Semporna bagi menyiasat dan mengambil tindakan segera kerana laluan tersebut adalah laluan biasa bagi urusan pergerakan harian penduduk termasuk menghantar anak-anak ke sekolah serta Tadika Kemas Pulau Pababag.
Sumber: Malaysia Gazette
Comentários