top of page

KKB Engineering dilantik kontraktor PETRONAS


KKB Engineering dilantik kontraktor PETRONAS

KUALA LUMPUR: OceanMight Sdn Bhd, anak syarikat KKB Engineering Bhd, dipilih menjadi antara kontraktor PETRONAS membabitkan peruntukan kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) kerja struktur luar pesisir tetap.


Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, KKB Engineering yang berpangkalan di Sarawak berkata, OceanMight telah menerima dan menandatangani Surat Anugerah Perjanjian Frame PETRONAS.


“Kontrak rasmi akan disediakan dalam tempoh tiga bulan daripada penerimaan surat anugerah berkenaan.


“Kontrak ini berkuat kuasa dari 12 Disember 2018 dan diteruskan untuk tempoh selama enam tahun, kecuali jika ia ditamatkan lebih awal.


“Kontrak ini juga tidak akan memberi kesan kepada modal saham syarikat dan dijangka menyumbang secara positif ke atas pendapatan dan aset bersih syarikat dan kumpulan bagi sepanjang tempoh kontrak,” katanya.


KKB Engineering terbabit dalam aktiviti membuat keluli, menyediakan kerja-kerja pembinaan sivil dan mengeluarkan silinder gas petroleum cecair (LPG).


Melalui anak-anak syarikatnya, KKB Engineering menghasilkan unplasticized polyvinyl chloride (UPVC), paip dan kerja-kerja kimpalan subkontrak.


Syarikat itu juga mempunyai operasi dalam mengeluarkan dan memasarkan paip keluli serta produk-produk keluli berkaitan yang lain.


Setakat jam 2.12 petang, saham KKB Engineering didagangkan pada 85.5 sen seunit dengan 34,000 saham bertukar tangan.



288 views
bottom of page