top of page

Keuntungan bersih Petchem rendah


JOHOR BHARU 26 Julai 2019 - Sesi Lawatan Media ke Petronas Intergrated Complex, di Pengerang, di sini hari ini. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON / Pemberita: FAUZI (ekonomi Utusan)

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) mencatatkan keuntungan bersih rendah sedikit sebanyak RM1.12 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2019, berbanding RM1.44 bilion dalam tempoh sama tahun lepas, berikutan penurunan harga minyak mentah dan permintaan pasaran yang lemah.


Hasil susut sebanyak lapan peratus kepada RM4.34 bilion pada suku tersebut daripada RM4.73 bilion.


“Hasil lebih rendah itu disebabkan terutama harga produk yang lebih rendah sebahagiannya diimbangi oleh kuantiti jualan lebih tinggi dan kelemahan ringgit berbanding dolar US,” kata kumpulan itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

PetChem berkata, hasil daripada segmen olefin dan derivatif turun kepada RM2.35 bilion dalam suku kedua 2019 daripada RM2.75 bilion dalam suku kedua 2018 manakala baja dan metanol susut kepada RM1.98 bilion daripada RM2.00 bilion sebelumnya.


Kedua-dua segmen itu rendah disebabkan penurunan harga produk, sebahagiannya diimbangi oleh kuantiti jualan tinggi dan kelemahan ringgit berbanding dolar AS, kata syarikat tersebut.


Selain itu, PetChem berkata, keputusan daripada operasinya dijangka dipengaruhi terutama oleh keadaan ekonomi global, pergerakan kadar tukaran asing, kadar penggunaan kemudahan pengeluarannya dan harga produk petrokimia, yang mempunyai hubung kait tinggi dengan harga minyak mentah, khususnya bagi segmen olefin dan derivatif.


“Penggunaan kemudahan pengeluaran kami adalah bergantung kepada aktiviti penyelenggaraan loji dan ketersediaan bahan mentah serta bekalan utiliti yang mencukupi.


“Kumpulan akan meneruskan program kecemerlangan operasi dan pengurusan hubungan pembekalnya untuk mengekalkan tahap penggunaan loji di atas paras penanda aras industri,” kata syarikat itu. - BERNAMA




11 views
bottom of page