top of page

Kerjasama sektor awam, swasta pacu kemajuan infrastruktur negara


Kerjasama sektor awam, swasta pacu kemajuan infrastruktur negara Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan

Infrastruktur di Asia Tenggara berkembang pesat tetapi dilihat masih belum cukup ampuh ketika ini. Menurut Bank Pembangunan Asia (ADB), jurang infrastruktur di rantau ASEAN sejak 2016 hingga 2030 adalah kira-kira AS$2.8 trilion atau AS$184 bilion setiap tahun.


Kekurangan ketersambungan infrastruktur terus menghalang proses perindustrian dan pertumbuhan ekonomi di kebanyakan tempat di Asia Tenggara, sekali gus memberi kesan kepada kualiti hidup penduduknya.


Bagaimanapun, rantau ini mungkin berada pada titik perubahan ideal apabila kerajaan ASEAN kian meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur untuk menggalakkan pengembangan ekonomi dan memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai.


Mencapai pertumbuhan infrastruktur berkualiti tinggi berpotensi untuk mendorong lagi kemajuan ekonomi yang dipacu menerusi peningkatan aktiviti pembinaan, rangsangan dalam peluang pekerjaan serta memberi insentif kepada pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.


Ketika ini, hampir semua pasaran ASEAN mengumumkan projek infrastruktur pembinaan negara tertentu, dalam usaha untuk merangsang aktiviti ekonomi.


Malaysia juga berikrar untuk melabur dengan ketara dalam pembangunan infrastruktur, ketika negara berusaha untuk mempercepatkan pemulihan dan meningkatkan lagi keunggulan ekonominya.


Dalam pengumuman bajet sebelum ini, Malaysia memperuntukkan sejumlah RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Dalam hal ini, antara diberi tumpuan adalah meningkatkan ketersambungan pengangkutan.


Ini dibuktikan melalui pembangunan berterusan projek utama berskala mega termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), MRT3 dan Lebuhraya Pan Borneo.


Namun, belanjawan kerajaan, malah di seluruh dunia, berada dalam tekanan menerusi langkah bantuan fiskal yang mungkin sukar untuk membiayai sebilangan projek.


Justeru, perkongsian swasta dan awam menjadi kunci kepada pembangunan ekonomi dan Malaysia memulakan usahanya. Sebagai contoh, untuk menampung kos pembinaan projek MRT3 bernilai RM31 bilion, MRT Corp mengguna pakai model pembiayaan hibrid bagi memastikan pilihannya terbuka dalam bentuk pembiayaan langsung apabila ekonomi Malaysia meningkat pada masa hadapan.


Buat masa ini, kerajaan memberi kelulusan kepada MRT Corp untuk meneroka inisiatif kewangan swasta (PFI), iaitu sektor swasta membiayai kos pendahuluan yang akan dibayar balik oleh kerajaan melalui pembayaran tertunda dan juga untuk mengambil bahagian apabila wujudnya kekurangan dana.


Namun, ketika negara semakin maju, sektor awam tidak lagi boleh berdiam diri, sebaliknya perlu terus menawarkan nilai untuk membuka lebih banyak modal bagi pembangunan infrastruktur.


Satu cara negara boleh melakukannya adalah dengan menawarkan lebih banyak struktur pembiayaan inovatif yang akan menggalakkan lebih banyak perkongsian awam dan swasta.


Mengumpulkan pelbagai sumber pembiayaan melalui proses bersesuaian untuk membiayai kitaran hayat projek lengkap memerlukan model pembiayaan kompetitif.


Tarik pelabur asing

Dalam hal ini, pihak bank boleh memainkan peranan penting menyelaras dan menyediakan pembiayaan. Ini termasuk menyediakan akses kepada modal kerja, menawarkan pilihan pembayaran ansuran dan menyediakan pilihan pembiayaan perdagangan berstruktur.


Menawarkan pendekatan kewangan ini boleh menyediakan saluran berpotensi untuk menghapuskan halangan kepada kewangan swasta. Dalam pada itu, menarik pelaburan asing ke dalam projek infrastruktur negara juga penting.


Sebelum ini, eksport yang kukuh lazimnya menarik pelaburan dalam bidang lain termasuk pengangkutan dan ini turut dialami di Malaysia, yang mampu menarik sebahagian besar FDI.


Akan tetapi, dengan berlatarbelakangkan aliran FDI global yang semakin mengecut, serta persaingan semakin meningkat daripada negara lain kerana turut berusaha untuk mengambil bahagian dalam industri pemasangan elektronik di negara ini, Malaysia memerlukan pembaharuan rangka kerja pelaburannya untuk memudahkan lagi syarikat multinasional (MNC) untuk melabur di negara ini.


Elemen penting ketiga dalam meletakkan Malaysia untuk berkembang ke fasa pertumbuhan seterusnya adalah dengan meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur berkaitan kemampanan.


Pembangunan infrastruktur berkaitan kemampanan yang menggunakan pembiayaan sektor awam dan swasta, adalah faktor utama bagaimana Malaysia dapat menangani ancaman dan peluang perubahan iklim semakin meningkat.


Malaysia mempunyai komitmen terhadap iklim global untuk mengurangkan kesan pelepasan karbon di seluruh ekonominya berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus pada 2030 berbanding 2005.


Selaras dengan cita-cita ini, kerajaan merancang meningkatkan bahagian sumber tenaga boleh diperbaharui kepada 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035 di bawah pelan penjanaan kuasanya.


Komitmen negara terhadap pertumbuhan tenaga suria berskala besar sebagai sumber utama campuran tenaga boleh diperbaharui, di samping kuasa hidro, memberi isyarat pasaran kepada sektor swasta untuk menyokong projek dalam bidang ini.


Sebagai contoh, tender projek program Solar Berskala Besar dikeluarkan pada 2020 dan 2021 mewujudkan minat tinggi daripada pelabur dan kerajaan turut menggalakkan industri untuk meneroka peluang ladang solar terapung dan projek menukar sisa buangan kepada tenaga.


Tangani isu perubahan iklim

Kerjasama sektor swasta dan awam amat penting dalam usaha menangani perubahan iklim. Sehubungan itu, pada tahun lalu, Hongkong and Shanghai Banking Corporation (HSBC) dan Temasek mengumumkan perkongsian mewujudkan platform pembiayaan hutang khusus untuk projek infrastruktur mampan dengan memberi tumpuan awal di Asia Tenggara, sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kesan perubahan iklim.


Platform ini bermatlamat sebagai pemangkin kepada aliran modal besar kepada bidang infrastruktur mampan, menggunakan kewangan gabungan pada skala dari masa ke semasa untuk membuka lebih banyak projek boleh dibiaya secara kecil-kecilan dan mewujudkan kelas aset boleh didagangkan, yang memperoleh dana daripada pelabur swasta dan institusi.


Kewujudan Bandar Pintar dengan penekanan terhadap teknologi inovatif dan mampan, akan membuka peluang kepada syarikat, menarik bakat dan pelabur serta membuka laluan baharu kepada pelaburan melalui pembiayaan mampan apabila projek dan skim itu dilancarkan.


Sebagai contoh, Smart Selangor, yang memberi tumpuan untuk menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar boleh didiami di ASEAN menjelang 2025 mewujudkan permintaan dan peluang pelaburan terutamanya dalam ekosistem infrastruktur digital.


Pembangunan infrastruktur adalah fokus utama kepada pertumbuhan ekonomi, namun pelaburan baharu yang besar diperlukan untuk mencapai matlamat ini.


Walaupun Malaysia mencapai kemajuan besar dalam beberapa dekad kebelakangan ini dalam meningkatkan pelaburan infrastruktur, lebih banyak lagi perlu dilakukan oleh sektor awam dan swasta untuk memanfaatkan modal bagi membolehkan pengembangan infrastruktur.


Impaknya boleh membawa pembaharuan atau transformasi terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.


Penulis adalah Ketua Perbankan Global, Hongkong and Shanghai Banking Corporation (HSBC) Malaysia


Sumber: Berita Harian


9 views

Comments


bottom of page