top of page

Kerja pembaikan paip pecah di Klang alami kelewatan


Kerja pembaikan tiga paip utama yang pecah (bulatan merah) berhampiran projek pembinaan WCE Banting-Taiping, Ahad lepas akan mengalami kelewatan susulan berlaku pergerakan tanah di kawasan itu.

KLANG - Kerja pembaikan tiga paip utama yang pecah berhampiran projek pembinaan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping, Ahad lepas akan mengalami kelewatan susulan berlaku pergerakan tanah di kawasan itu.


Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, buat masa ini pihaknya dan WCE sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca berlakunya pergerakan tanah tersebut.


"Apabila membabitkan tanah sudah tentu ia masalah serius selain turut membabitkan tiga paip utama bersaiz 1400mm, 900mm dan 600mm.

"Kita turut mengarahkan WCE untuk mengurangkan bebanan di struktur tanah terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya selepas mengadakan tinjauan ke lokasi kejadian, di sini hari ini.


Sejak Ahad lepas, hampir 90 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah.


Izham berkata, kerajaan negeri dan pihak WCE akan berusaha menyelesaikan kerja pembaikan paip itu dengan kadar segera.


Sementara itu, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas akan dibuat secara berperingkat.


Beliau berkata, Air Selangor akan menyegerakan bekalan air dalam tempoh 24 jam sekiranya masalah proses pembaikan paip itu dapat diselesaikan.


Katanya, pelanggan boleh menghubungi talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 dan 019-280 0919 untuk bantuan atau boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook 'Air Selangor' dan Twitter @air_selangor untuk info terkini. - Bernama


Sumber: Kosmo!


98 views
bottom of page