KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata kerja pembaikan dua kawasan tanah mendap di Residensi 16, Jalan Taman U Thant, di sini pada Ahad akan dilaksanakan dengan segera.
Antara kerja-kerja pembaikan yang akan dilakukan ialah penyelenggaraan longkang dan kerja yang bersesuaian bagi memastikan masalah di kawasan ini diatasi sepenuhnya dan tidak berulang, katanya selepas meninjau lokasi mendapan itu di sini, pada Isnin.
Pada Ahad, media melaporkan laluan ke Residensi 16, Jalan Taman U Thant ditutup kepada orang awam susulan kejadian jalan mendap dan tembok runtuh yang dilaporkan pada 3.30 petang sebelum disusuli satu lagi kejadian tanah mendap dipercayai berlaku kira-kira pukul 5 petang dan terletak kurang 30 meter dari lokasi mendapan pertama.
Beliau berkata, kedua-dua kejadian itu dipercayai berpunca daripada paip pecah namun siasatan diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan ada punca lain menyebabkan kejadian itu.
"Saya dimaklumkan oleh penduduk yang kawasan ini kerap dilanda banjir kilat sejak 2014, namun tidak melibatkan insiden teruk sehinggalah kejadian mendapan semalam.
"Beberapa pegawai dari Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditempatkan di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
"Setakat ini, kawasan tersebut dalam keadaan stabil tetapi kita masih menunggu laporan siasatan sebelum membuat keputusan sama ada perlu memindahkan penghuni atau tidak," katanya.
Nor Hisham berkata, kos pembaikan akan ditanggung DBKL sementara IKRAM akan terlibat membuat kajian teknikal di lokasi.
-- BERNAMA
Sumber: Astro Awani
Comentarios