top of page

Kerja orang 'gatal tangan'


Kerja orang 'gatal tangan'
MASALAH lif yang kerap rosak di tiga blok PPR Padang Hiliran sering berulang kerana sikap segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab. FOTO Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Kemudahan lif yang kerap rosak di tiga blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, di sini akibat perbuatan vandalisme.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman berkata, masalah itu sering berulang kerana sikap segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab.


"Kita mengharapkan jasa baik semua penghuni untuk sama-sama menjaga kemudahan yang ada. Jika berlaku kerosakan, penghuni sendiri juga yang menanggung susah.


"Buat masa ini, dua lif di Blok A dan B berfungsi dengan baik manakala satu lif beroperasi di Blok C dan sebuah lagi siap dibaiki," katanya kepada Harian Metro.


Menurutnya, PMINT selaku badan dipertanggungjawab untuk menyelenggara PPR itu membelanjakan RM320,435 untuk kerja-kerja baik pulih lif pada tahun 2020.


Wan Adnan berkata, pihaknya juga dalam proses untuk menukar satu daripada tiga lif di setiap blok, yang sekali gus bakal memanfaatkan 3,868 penghuni.


"Proses untuk penukaran lif baharu sedang berjalan, yang mana Blok A dan B dijangka siap pada April 2024, manakala Blok C pada September 2023.


"Jawatankuasa setiap blok juga sudah diberi taklimat mengenai kerja-kerja penukaran ini untuk dimaklumkan kepada penduduk.


"Kos penukaran lif bagi Blok A dan B dianggarkan RM2.480 juta manakala Blok C RM1.275 juta," katanya.


Jelasnya, projek penukaran lif di bangunan itu di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang disalur menerusi Unit Perumahan Terengganu.


"PMINT dilantik sebagai badan pengurusan untuk membuat penukaran lif baharu dan penyeliaan projek akan dipantau bersama syarikat PMINT Urus Sdn Bhd (PMINT URUS).


"Kita berharap apabila lif baharu siap ia dapat menyelesaikan masalah yang menyulitkan penghuni PPR Padang Hiliran," katanya.


Sumber: Harian Metro


4 views
bottom of page