SEBERANG PERAI – Orang ramai yang melalui Persimpangan Bertingkat Juru (Arah Utara) di sini dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini melalui aplikasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
Menurut PLUS dalam satu kenyataan, ini berikutan laluan tersebut akan mula dinaik taraf untuk tempoh lebih sebulan mulai 6 Oktober ini hingga 13 November depan.
Katanya, kerja-kerja penaiktarafan itu melibatkan kapasiti sistem perparitan sedia ada yang termasuk dalam Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bersebelahan kawasan pengoperasian lebuh raya berkenaan.
Jelas kenyataan tersebut lagi, langkah menaik taraf itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif oleh syarikat konsesi lebuh raya itu dalam meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya ketika ini.
“Justeru, bagi membolehkan kerja-kerja menaiktaraf tersebut dijalankan secara berperingkat, PLUS akan mengaktifkan lencongan trafik dari jalan susur masuk ke arah Pulau Pinang-Alor Setar di persimpangan bertingkat Juru (arah Utara) kepada semua kenderaan.
“Pengaktifan ini berkuat kuasa mulai 12 tengah malam, 6 Oktober ini (Khamis) hingga pukul 11 malam pada 13 November (Ahad) akan datang,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu katanya, para pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memandu selain mematuhi had laju dan arahan papan tanda trafik ketika melalui kawasan berkenaan.
“PLUS mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pengguna lebuh raya sepanjang tempoh kerja menaik taraf dijalankan bagi menjadikan perjalanan yang lebih lancar untuk semua,” tambahnya.
Sumber: Kosmo!
Comments