top of page

Kerajaan teruskan projek Sungai Nadi Kehidupan


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) untuk memelihara kebersihan sungai di ibu kota.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, berkata pelaksanaan projek itu juga bertujuan memastikan sungai yang mengalami pencemaran Kelas Tiga, dinaikkan kualiti airnya kepada Kelas Dua.


Beliau berkata, sebelum ini tiada kehidupan di dalam sungai yang mengalami pencemaran teruk, namun kini ia dalam proses pemulihan.

“Antara masalahnya ialah masyarakat kita melihat sungai sebagai tong sampah. Segala jenis bahan dibuang ke dalam sungai, daripada najis sehinggalah sisa kumbahan.


“Ironinya selepas itu, sumber air dari sungai dirawat dan diproses untuk diminum pula.


Sedangkan jika ia dijaga dari awal, sumber air kita akan lebih berkualiti.


“Justeru, kerajaan sedang memastikan sistem pembentungan tidak mengalir terus ke sungai.


Sebaliknya, ia perlu melalui sistem pelan pemulihan sehingga mencapai Kelas Dua sebelum dilepaskan ke sungai,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Penarafan Kebersihan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Fasa 8, di sini, hari ini.


Menurut laporan eksklusif BH, hari ini, ketiadaan usaha menyelamat dan memulihkan lebih 20 sungai yang mengalami pencemaran Kelas Tiga sejak 2017, bakal mengulangi tragedi Sungai Kim Kim, Johor, pada bila-bila masa, seterusnya mengganggu sumber air negara.


Sementara itu, ditanya berhubung isu flat atau pangsapuri uzur yang berisiko untuk didiami di sekitar Kuala Lumpur pula, Shahruddin berkata, pihaknya tiada maklumat berkaitan.


“Pihak kami tidak menjalankan sebarang pemantauan terhadap bangunan kediaman lama, namun ia akan disemak semula nanti,” katanya mengulas isu bangunan Blok F, Flat Taman Keramat Permai, terpaksa dikosongkan sejak malam kelmarin berikutan mengalami keretakan teruk.



21 views
bottom of page