top of page

Kerajaan Terengganu tambah baik projek Rancangan Tebatan Banjir Baroh Tok Jiring


Kerajaan Terengganu tambah baik projek Rancangan Tebatan Banjir Baroh Tok Jiring Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Kerajaan Terengganu tambah baik projek Rancangan Tebatan Banjir Baroh Tok Jiring


KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menambah baik projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baroh Tok Jiring, Kuala Nerus bagi mengatasi masalah banjir di sekitar kawasan berkenaan.


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri akan memohon kerajaan Persekutuan mempercepatkan Fasa 2 RTB demi keselamatan dan keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.


Sebelum ini projek RTB Fasa Satu dilaksanakan kerajaan negeri bermula 2015 dengan kos hampir RM100 juta, namun dengan banjir yang luar biasa, projek RTB itu yang sudah siap sepenuhnya tidak mampu menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan.


"Banjir pada kali ini adalah luar biasa melanda negeri ini, dengan taburan hujan paling tinggi, ia terburuk dalam sejarah Terengganu.


"Projek Fasa Satu RTB yang direka bentuk oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) sebelum ini adalah berdasarkan keadaan lama.


"Jadi saya percaya berdasarkan situasi itu, JKR dan JPS akan mencari jalan untuk penambahbaikan bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk di kawasan berkenaan," katanya yang turut mengharapkan projek tebatan banjir fasa dua dipercepatkan kerajaan Persekutuan.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) di sebuah hotel dekat sini, hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.


Sebelum ini projek tebatan banjir Baroh Tok Jiring Fasa Dua yang bakal memberi impak yang besar kepada penduduk Kuala Nerus sudah disenaraikan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan anggaran kos berjumlah RM350 juta.


Namun status sebenar projek yang pada mulanya akan dilaksanakan pada tahun depan menimbulkan persoalan sama ada diteruskan atau sebaliknya.


Terdahulu lebih 1,000 penduduk Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak dan taman sekitarnya terpaksa berteduh di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gong Badak selepas kediaman masing-masing ditenggelami banjir sedalam satu meter (meter) di dalam rumah manakala di luar rumah melebihi 1.5 meter.


Sumber: Berita Harian


7 views
bottom of page