top of page

Kerajaan Persekutuan tentukan pengambilan tanah bagi projek ECRL - Aminuddin


Sebelum ini, projek ECRL diumumkan akan diteruskan dengan kos pembinaan RM44 bilion, berkurangan RM21.5 bilion daripada nilai asal RM65.5 bilion. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Isu pengambilan tanah bagi pembinaan jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan ditentukan Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.


Beliau berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan sehingga kini masih belum memutuskan mengenai perkara itu dan sekadar membuat perbincangan awal baru-baru ini.


“Kerajaan Persekutuan akan tentukan (laluan). Kita baru berbincang di peringkat awal sahaja.

“Kita sedang tunggu Kerajaan Persekutuan memuktamadkan jajaran (di Negeri Sembilan) untuk mereka tentukan kawasan mana yang terbabit, selepas itu mereka akan buat paparan awam (public display) selama tiga bulan kepada penduduk di Jelebu bagi mendapatkan maklum balas masyarakat setempat sama ada setuju atau membantah dengan jajaran itu,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.


Sebelum ini, projek ECRL diumumkan akan diteruskan dengan kos pembinaan RM44 bilion, berkurangan RM21.5 bilion daripada nilai asal RM65.5 bilion.


Perubahan jajaran ECRL yang kini memasuki Negeri Sembilan dilakukan bagi mengelak pembinaan terowong 18 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa.


Aminuddin berkata, pembinaan jajaran ECRL melalui Jelebu akan membuka peluang untuk menjadikan daerah itu sebagai destinasi tumpuan untuk dikunjungi pelancong luar dan dalam negeri.


Katanya, langkah itu juga diyakini akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat seperti pembinaan hotel, rumah inap desa dan restoran, malah mampu meningkatkan nilai hartanah di situ.


“Jelebu hanya dikenali sebagai kawasan pengeluar makanan dan kita tidak tahu bagaimana nak bangunkan kawasan itu sebelum ini.


“Tetapi, kita sedia maklum bahawa ekopelancongan adalah aset terbesar Jelebu. Kita ada Taman Negeri Kenaboi yang mana di dalamnya ada pusat yang akan dibina dan sudah diluluskan iaitu Pusat Konservatif Tapir negara.

“Selain itu, Kenaboi mempunyai banyak flora dan fauna yang mana ia diyakini akan menarik kunjungan pelancong luar. Keadaan itu akan menyumbang ke arah pembinaan hotel, restoran serta rumah inap desa yang mana ia diyakini akan bantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.


Sementara itu, Aminuddin berkata, pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sudah mengadakan pertemuan dengan beliau dua hari lalu untuk membincangkan mengenai jajaran ECRL.


“Bagaimanapun, masih belum ada jajaran sebenar, ia masih di peringkat kajian. Kita pun belum buat kajian untuk tentukan jumlah peruntukan yang sesuai untuk membangunkan daerah itu,” katanya.



14 views
bottom of page