Kerajaan negeri pertimbang bina 'mini slipway' di daerah kritikal



KERAJAAN Terengganu sedang berusaha mengatasi masalah kesukaran membaiki bot dalam kalangan nelayan negeri ini dengan menimbang keperluan pembinaan 'mini slipway' di beberapa daerah kritikal.


Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim berkata, nelayan ketika ini terpaksa membaiki bot di 'slipway' swasta selain ada antaranya terpaksa menempuh perjalanan jauh sehingga ke daerah lain bagi tujuan itu.


Katanya, buat permulaan, projek rintis pembinaan 'mini slipway' dilaksanakan di Marang dengan kos kos RM500,000.



"Projek ini dijangka siap sepenuhnya bulan depan dan apabila siap kelak, nelayan di Marang yang selama ini terpaksa pergi ke Pulau Duyong, Kuala Terengganu boleh ke sini untuk membaiki bot mereka.


"Saya melihat keperluan 'mini slipway' bagi setiap daerah kerana kita nak kerosakan kecil seperti kerosakan kipas yang memerlukan pembaikan selama beberapa hari, boleh dilakukan di 'mini slipway' seperti ini.


"Beberapa daerah yang menjadi tumpuan nelayan kita seperti Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman akan menjadi fokus kita untuk pembinaan 'mini slipway' khususnya di daerah yang sebahagian besar nelayannya menggunakan bot A dan bot B yang memerlukan khidmat setempat," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di bilik sejuk beku di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang dan projek 'mini slipway' di Bandar Marang di sini hari ini.


Dr Azman berkata, projek 'mini slipway' di Marang yang sudah hampir 90 peratus siap kini dalam proses untuk pemasangan 'winch' jentera untuk menarik bot.


Katanya, ia menjadi satu-satunya 'mini slipway' di bawah kerajaan negeri dan di Marang yang mana ia mampu menampung berat kira-kira 30 tan berat bot.


"Ia memadai dengan sasaran kita untuk membaiki bot kecil sebab kebanyakan nelayan Marang ialah nelayan sampan, bot fiber, bot kelas A dan bot B kecil manakala bot yang memerlukan pembaikan yang lebih rumit, boleh dihantar ke 'slipway' yang besar," katanya.


Mengulas mengenai pembinaan bilik sejuk beku di jeti LKIM Marang yang dimulakan pada Oktober tahun lalu, Dr Azman berkata, ia mampu menyimpan kira-kira 10 tan ikan dan hasil laut dalam satu-satu masa.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #Terengganu

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.