top of page

Kerajaan lulus projek tangani banjir di Kuching


Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak sebagai usaha menangani bencana banjir di kawasan bandar raya Kuching.


Perkara itu dimaklumkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan, sebanyak RM150 juta diperuntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi pelaksanaan projek tersebut.


Beliau berkata, projek itu kemudian diteruskan lagi dalam RMK-12 yang merangkumi sembilan kawasan di bandar raya Kuching dan Kota Samarahan.


Menurutnya, skop projek adalah menaiktaraf sistem saliran di Hospital Umum Kuching dan menaiktaraf Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Gersik dan Sungai Sinjan.


“Ia turut merangkumi projek mendalam dan melebarkan Sungai Tabuan, menaiktaraf sistem saliran di Jalan Batu Lintang, di Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Tuang, Samarahan serta di Jalan Kuching-Samarahan Expressway, Samarahan.


“Seterusnya mendalam dan melebarkan Sungai Tengah dan Sungai Minjap, Matang, Kuching,” katanya dalam sesi Jawab Lisan di Parlimen, hari ini.


Tuan Ibrahim berkata, PLSB Sungai Sarawak buat masa ini di peringkat interim rekabentuk terperinci.


Katanya, draf akhir rekabentuk terperinci itu dijadual dikemukakan pada Disember ini dan jangkaan tender bagi PLSB Sungai Sarawak itu ialah pada suku pertama tahun 2022 dengan tempoh pembinaan fizikal selama empat tahun.


6 views

Comments


bottom of page