top of page

Kerajaan laksana 20 projek infrastruktur baharu tahun ini - Menteri


KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya akan melaksanakan 20 projek infrastruktur baharu bernilai RM5.26 bilion tahun ini yang akan membantu merangsang ekonomi negara.


Menterinya, Baru Bian, berkata ia termasuk projek mega yang dirancang sebelum ini seperti Jalan Lingkaran Tengah (CSR) di Semenanjung, Lebuh Raya Pan Borneo selain jalan penghubung antara Sarawak dan Sabah.


“Saya percaya projek infrastruktur di seluruh negara ini akan merangsang ekonomi negara dengan berkesan.


“Kita juga akan cuba merundingkan semula beberapa projek yang dirancang tetapi belum dimulakan.


“Kita perlu berhati-hati kerana sekali kita sudah menandatangani kontrak, kita tidak boleh ubah kontrak itu,” katanya kepada BERNAMA selepas sesi rakaman program Property Hot Seat Bernama News Channel (BNC) di sini, hari ini.


Baru berkata, jalan yang menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar terutama di Sabah dan Sarawak itu akan menjana pertumbuhan industri pelancongan, selain membantu penduduk tempatan menjana pendapatan.


“Sebagai contoh di Sarawak kita ada gunung seperti Gunung Murud dan Gunung Mulu yang boleh menarik kedatangan lebih ramai pelancong.


“Jika ia boleh dikunjungi dengan kemudahan infrastruktur yang baik, sudah pasti ia akan menarik lebih ramai pelancong,” katanya. – BERNAMA



38 views
bottom of page