top of page

Kerajaan komited tingkat bekalan rumah mampu milik


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus komited meningkatkan bekalan Rumah Mampu Milik (RMM) selaras sasaran 500,000 rumah dibina dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata kementerian juga sentiasa berusaha mengenal pasti punca dan masalah ketidakmampuan rakyat memiliki rumah.


Katanya, kementerian juga akan memastikan pelaksanaan projek perumahan di seluruh negara bagi golongan B40 dan M40 terus diberi perhatian dan lebih inklusif serta mempunyai infrastruktur lengkap dan berkualiti.


"Antara strategi akan dilaksanakan dalam tempoh RMK-12 adalah melalui penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan 500,000 Unit RMM.


"Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan pencapaian penyediaan bekalan perumahan oleh 15 agensi penyedia perumahan selain daripada kementerian, kerajaan negeri dan swasta supaya berjalan lancar dan mencapai sasaran.


"Daripada sasaran 500,000 unit RMM di bawah RMK-12, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyumbang 89,717 unit rumah (18 peratus)," katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 kementeriannya, di Dewan Rakyat, hari ini.


Reezal Merican berkata, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan diaktifkan semula bagi memantau pelaksanaan pembinaan 500,000 unit RMM di seluruh negara.


"Kita berharap sasaran kerajaan menyediakan rumah untuk Keluarga Malaysia dapat dicapai," katanya.


Sementara itu, katanya, setakat ini Program Perumahan Rakyat (PPR) menyediakan 97,196 unit yang siap dibina, manakala 9,862 unit masih dalam pembinaan dan 2,893 unit masih dalam perancangan.


Beliau berkata, bagi Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), sebanyak 47,959 unit sudah siap dibina; 4,962 unit masih dalam pembinaan dan 1,464 unit masih dalam perancangan.


Katanya, kediaman SPNB untuk golongan M40 pula, sehingga kini 27,518 unit rumah siap dibina dan 1,968 unit rumah sedang dalam pembinaan serta 1,841 unit rumah masih dalam pelbagai peringkat perancangan.


"Melalui Program Perumahan PR1MA, setakat ini terdapat 25,819 unit siap dibina; 21,318 unit masih dalam pembinaan dan 2,264 unit masih dalam perancangan.


"Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), sehingga 8 November lalu, sebanyak 23,942 unit siap dibina; 15,022 unit masih dalam pembinaan dan 18,440 unit masih dalam perancangan," katanya.

Sumber: Berita Harian

14 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page