Kerajaan kaji sedia insentif kepada pengeluar, pembekal IBS


PETALING JAYA 26 Mac - Kerajaan sedang mengkaji untuk menyediakan insentif kepada pengeluar dan pembekal Sistem Binaan Industri (IBS) sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menggalakkan penggunaan teknologi IBS.


Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, antara cadangannya ialah pengecualian duti import ke atas peralatan dan jentera berat.


Beliau berkata inisiatif itu masih dalam perbincangan dan tiada had masa untuk pelaksanaan dimuktamadkan.


“Kami akan membuat pelarasan dengan pihak lain dan mendapatkan cadangan daripada penggiat industri seperti Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda).


“Saya fikir ia amat baik (untuk memberi insentif) berikutan kita perlu menggalakkan penggiat industri. Kita perlu menyokong mereka untuk mencapai apa yang kita mahu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan IBS Masterclass and Conference di sini hari ini.


Baru berkata lebih 300 pengeluar atau pembekal IBS berdaftar pada tahun lepas berbanding 265 pada 2017.


Beliau berkata walaupun pelaksanaan teknologi IBS dalam sektor awam tinggi sebanyak 78 peratus, penerimaan teknologi itu dalam sektor swasta agak rendah, hanya 31 peratus.


“Pihak berkuasa pembinaan dan penggiat industri perlu mengikuti perkembangan mengenai inovasi dan teknologi terkini untuk mengekalkan daya saing.


“Saya menggalakkan Institut Rehda untuk mengadakan lebih banyak perbincangan dengan pihak berkepentingan utama industri untuk melihat bagaimana peserta industri dapat menggunakan teknologi IBS,” katanya. - BERNAMA


Sumber: Utusan Online


#evolusibina #IBS

41 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.