top of page

Kerajaan cadang lanjut tempoh bekerja industri berkaitan TVET


Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan bercadang melanjutkan tempoh bekerja bagi industri berkaitan latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) dalam usaha memperkasa tahap kebolehpasaran pelajar jurusan berkenaan.


Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata ia membabitkan tambahan enam jam waktu bekerja iaitu dari 8 pagi hingga 11 malam, berbanding 8 pagi hingga 5 petang dengan pelaksanaannya akan dibahagikan kepada tiga syif.


Katanya, tempoh bekerja tambahan antara jam 5 petang hingga 11 malam itu bagaimanapun akan diperuntukkan khusus bagi melatih pelajar bidang TVET, sekali gus muncul sebagai pentas untuk membiasakan mereka dengan pelbagai peralatan.


“Kita mahu beri galakkan kepada semua pemain industri berkaitan TVET untuk buka ruang dengan beroperasi hingga jam 11 malam. Ia akan memberi peluang kepada pekerja mereka memperhebatkan kemahiran masing-masing.


“Ia juga akan beri lebih banyak peluang kepada semua pihak, selain cadangan ini sudah pun diguna pakai di Jepun dan beberapa negara lain, termasuk di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC),” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penghargaan daripada Menteri Luar Jepun kepada Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI), bertemakan ‘Menggalakkan Hubungan Ekonomi antara Jepun dan Malaysia’ di di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Ketua Pengarah Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.


Dalam pada itu, Kulasegaran berkata pihaknya akan mengusulkan cadangan kepada Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) untuk mempertimbangkan supaya JTMI dijadikan pusat latihan serantau yang mengetengahkan program latihan dari agensi berkenaan.


“Cadangan ini selari dengan penubuhan JTMI, malah ia tidak membabitkan sebarang implikasi kewangan jika JTMI dijadikan pusat latihan serantau JICA dengan ia akan diketengahkan dalam lawatan kerja rasmi saya ke Jepun, pada Jun depan.


“Selain itu, cadangan ini akan mewujudkan keadaan menang-menang kepada JICA, selain berpeluang menggunakan JTMI sebagai pusat latihan bagi sebarang keperluan dalam bidang ini, pada bila-bila masa,” katanya.


Sementara itu, Guan Eng yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), berkata kerajaan menyasarkan peningkatan pekerja mahir kepada 35 peratus menjelang 2020 berbanding 28 peratus ketika ini.


“Bagi menzahirkan sasaran ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), perlu ada penambahan jumlah pengambilan pelajar TVET daripada 164,000 pada 2013 kepada 225,000 menjelang 2020.


“TVET juga perlu dikekalkan dan diperkukuh bagi memastikan Malaysia mampu mencapai status negara industri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.



24 views
bottom of page