Kepakaran George Kent dalam sistem rel diperakui


KUALA LUMPUR: George Kent (M) Bhd optimis kerajaan akan menghargai kepakarannya sebagai pakar sistem rel walaupun ia lebih dilihat sebagai syarikat yang mesra dengan pentadbiran terdahulu.


“Jika kerajaan sekarang tidak menerima kami, sudah pasti syarikat ini tidak dibenarkan untuk meneruskan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3),” kata Pengarah Bebas Bukan Eksekutifnya, Datuk Paduka Keizrul Abdullah kepada Bernama.


George Kent dilabelkan sebagai ‘kroni’ pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini berikutan hakikat Pengerusinya, Tan Sri Tan Kay Hock yang memiliki 42.21 peratus pegangan ekuti syarikat itu, adalah rakan golf bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Bagaimanapun, Keizrul menyanggah pandangan bahawa hubungan Kay Hock dengan Najib akan menjadi penghalang syarikat berkenaan mendapat projek daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) di masa akan datang.


“Orang sering membuat andaian bahawa kejayaan kami mendapat (kontrak) kerja sebelum ini adalah disebabkan kaitan dengan BN.


“Sebaliknya, semua kejayaan itu termasuk projek mega pertama kami iaitu sambungan jajaran LRT Laluan Ampang, adalah menerusi tender terbuka berbanding kontrak menerusi rundingan,” katanya.


Sebelum ini, saham-saham George Kent mengalami jualan secara ketara selepas projek LRT3 sejauh 37 kilometer itu ditangguhkan bagi membolehkan kerajaan PH menelitinya semula selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei, 2018.


Namun pada Julai lalu, Kabinet memberi kelulusan agar projek itu diteruskan dengan kos yang disemak semula sebanyak RM16.63 bilion, berkurangan 47 peratus daripada anggaran kos awal RM31.65 billion.


Susulan itu pada 25 Januari, George Kent menerusi MRCB George Kent Sdn Bhd yang juga syarikat usahasama (JV) dengan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB), telah menandatangani kontrak harga tetap dengan Prasarana Malaysia Bhd untuk projek LRT3 berkenaan.


Pada November 2018, syarikat JV berkenaan mendapat kontrak RM11.86 bilion bagi pembinaan projek LRT3 dari Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang.


Ditanya sama ada syarikat itu berpuas hati dengan nilai kontrak RM11.86 bilion itu, Keizrul berkata tiada kontraktor yang ‘selesa’ dengan penurunan harga.


"Kerajaan baharu tidak mahukan model berasaskan rakan pelaksana. Oleh itu, kami berunding dengan mereka bagi memenuhi syarat yang diinginkan. Kerajaan mahu menjadikan LRT 3 sebagai projek ‘lump sum’ atau sekali gus dan kami akhirnya bersetuju dengan angka itu.


“Sudah pasti kami berpendapat syarikat ini sepatutnya mendapat lebih banyak lagi, cuma mungkin Menteri Kewangan tidak menganggap sedemikian,” katanya.


Mengulas langkah penangguhan Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3), Keizrul yakin projek itu akan diteruskan kelak.


"Ia hanya menunggu masa sesuai memandangkan semua pihak dalam industri ini sedia maklum mengenai keperluan laluan lingkaran bagi menghubungkan sistem sedia ada di Lembah Klang termasuk LRT, LRT3, MRT dan MRT2," katanya.


MRT3 sepanjang 40 kilometer itu adalah antara projek yang terpaksa dilepaskan oleh kerajaan PH selepas pilihan raya kerana membabitkan kos pembinaan tinggi yang dianggarkan RM50 bilion.


Keizrul yakin selepas projek LRT3 siap pada 2024, projek berikutnya yang akan diteruskan adalah MRT3.


"Apabila tendernya dibuka, George Kent akan membidanya kerana kami sememangnya layak untuk melaksanakannya," katanya.


Selain projek LRT3 dan MRT3, George Kent turut menjalin kerjasama dengan empat syarikat asing pada Februari tahun lalu untuk membentuk satu konsortium bagi membida projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.


Namun projek itu juga terpaksa ditangguhkan oleh kerajaan kerana membabitkan kos yang besar.


Pada 8 Mei 2018 yang juga hari dagangan terakhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum, harga saham George Kent mencecah RM3.94 namun susut 71.57 peratus sejak lebih lapan bulan lalu.


Saham itu ditutup pada RM1.12 sesaham pada Jumaat lalu. - BERNAMA


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #georgekent #LRT3

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.