top of page

Kembalikan fungsi CLAB bawa masuk pekerja asing sektor pembinaan


Kembalikan fungsi CLAB bawa masuk pekerja asing sektor pembinaan Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Kembalikan fungsi CLAB bawa masuk pekerja asing sektor pembinaan

KUALA LUMPUR: Persatuan berkaitan industri pembinaan mahu kerajaan mengembalikan urusan proses kemasukan pekerja asing kepada Pusat Pertukaran Pekerja Binaan Bhd (CLAB) bagi menangani semua isu berbangkit berhubung pekerja asing tanpa membabitkan Kementerian Sumber Manusia (KSM).


Dalam kenyataan bersama 10 persatuan itu meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam soal itu.


Mereka berkata, sesuatu perlu dilakukan bagi membantu industri pembinaan mendapatkan tenaga kerja asing secepat mungkin.


"Kami meminta Perdana Menteri mengembalikan proses pengambilan pekerja asing ini kepada CLAB supaya proses kemasukan mereka dapat dipermudahkan lagi, malah sebenarnya ia adalah perancangan asal untuk industri ini," katanya.


CLAB ditubuhkan pada 2003 oleh Jawatankuasa Kabinet Berhubung Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin sebagai pusat pemudah cara dalam pengambilan pekerja asing bagi sektor pembinaan.


Bagaimanapun, berkuat kuasa 14 November 2017, CLAB dijadikan syarikat penuh milik Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bertujuan memberi penekanan dalam menempatkan pekerja mahir tempatan bagi projek pembinaan.


Menurut kenyataan itu, pendaftaran dan kemasukan pekerja asing ketika ini dipecahkan kepada beberapa proses bagi menampung keperluan penyumberluaran yang diwujudkan untuk melaksanakan setiap proses terbabit.


Katanya, proses itu seharusnya dipermudahkan dengan memberi jumlah pekerja yang diperlukan.


"Kontraktor di seluruh negara ketika ini masih menunggu sumber tenaga kerja asing bagi membantu merancakkan kembali industri pembinaan. Kami mahukan garis panduan yang jelas.


"Realitinya, industri sudah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan pekerja asing.


Seharusnya masa untuk beratur panjang di KSM semata-mata untuk mendapatkan kuota pekerja asing tidak berlaku lagi," katanya.


Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Oliver HC Wee; Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff; Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan dan wakil Gabungan Kontraktor Bumiputera Wibawa Malaysia (GBC), DAtuk Ir Md Nasir Ibrahim.


Presiden Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM), Datuk Seri Sukumar Subrayalu; Presiden Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Dainna Baharuddin; Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk NK Tong; Presiden Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM), Ir K Sundaraj; Presiden Pertubuhan Aekitek Malaysia (PAM), Prof Madya Ar Sarly Adre Sarkum dan Presiden Institut Perancang Malaysia (MIP), Datin Noraida Saludin.


Sumber: Berita Harian



25 views

Comments


bottom of page