top of page

Kelantan perlu RM7 bilion untuk pulihkan bekalan air - Mohd Amar


Kelantan perlu RM7 bilion untuk pulihkan bekalan air - Mohd Amar Harian Metro www.hmetro.com.my
Kelantan perlu RM7 bilion untuk pulihkan bekalan air - Mohd Amar

Kota Bharu: Kerajaan Kelantan memerlukan RM7 bilion bagi menyelesaikan keseluruhan masalah air yang dihadapi di negeri itu sejak puluhan tahun lalu.


Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, masalah utama yang dihadapi Kelantan untuk menyelesaikan masalah berkenaan adalah isu kewangan.


Katanya, pada asalnya, kos untuk masalah itu sebanyak RM2 bilion, namun kini sudah meningkat kepada RM7 bililon.


"Dalam tempoh 30 tahun, banyak usaha yang dilakukan kerajaan negeri namun kekangan utama yang dialami adalah membabitkan soal kewangan.


"Menerusi projek migrasi air pada 2016, Kelantan sepatutnya menerima peruntukan RM2 bilion daripada Kerajaan Pusat, namun sayang peruntukan berkenaan tidak 'turun' disebabkan isu teknikal dan politik.


"Justeru pada tahun ini, kos untuk pulihkan bekalan air meningkat kepada RM7 bilion dan kita sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.


Terdahulu, Mohd Adhan memaklumkan Kelantan masih dianggap gagal dalam menyelesaikan masalah air kepada rakyat negeri itu apabila sehingga kini tidak mampu menyelesaikannya dan apa usaha yang dilakukan sehingga kini.


Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panchor berkata, sekalipun kerajaan negeri mempunyai sejumlah wang berkenaan, mereka memerlukan masa untuk menyelesaikan masalah itu.


"Bagaimanapun, kita tidak menganggap isu ini sebagai kegagalan kerajaan negeri sebaliknya ia adalah masalah yang perlu kita hadapi.


"Kita sentiasa berusaha dan bersikap terbuka kerana masalah air sepatutnya sudah lama selesai sekiranya peruntukan diberikan kepada Kelantan," katanya.


Sumber: Harian Metro


7 views

Comments


bottom of page