top of page

Kelantan harap projek tebatan banjir diteruskan


Kelantan harap projek tebatan banjir diteruskan Harian Metro www.hmetro.com.my
Gambar hiasan: Kelantan harap projek tebatan banjir diteruskan

Kota Bharu: Kelantan berharap projek tebatan banjir di negeri itu diteruskan demi kebaikan rakyat terutama penduduk di Rantau Panjang yang saban tahun berdepan banjir.


Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Datuk Azami Mohd Nor berkata, projek tebatan banjir di Kelantan membabitkan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa Dua dan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa Tiga.


Katanya, PLSB fasa dua merangkumi pembinaan struktur pemecah ombak di Kuala Besar bagi aliran banjir di Sungai Kelantan.


"Selain itu ia merangkumi projek lencongan banjir Sungai Kelantan melalui Sungai Seribong bagi melindungi banjir besar yang melanda bandar Kota Bharu.


"Bagi PLSB Sungai Golok Fasa Tiga pula ia penting bagi mengelak kawasan Bukit Bunga dan Air Lanas di Jeli mengalami banjir akibat limpahan Sungai Golok.


"Malah, seluruh Rantau Panjang dan Bandar Baru Pasir Mas akan mengalami banjir yang lebih serius akibat dari ketiadaan sambungan struktur yang sepatutnya dibina seiring dengan pembinaan struktur lain di PLSB Fasa 1," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat EXCO di sini, hari ini.


Justeru, beliau berharap Kerajaan Pusat dapat pertimbangkan projek berkenaan dan meneruskan demi rakyat Kelantan.


"Saban tahun Kelantan terutama di Rantau Panjang berdepan banjir dan projek tebatan ini sudah lama dilaksanakan dan kita bagi pihak kerajaan negeri tidak kisah siapa yang mendapat projek berkenaan asalkan ia diteruskan," katanya.


Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.


Beliau dipetik berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.


Beliau yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, pegawai kementerian itu sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.


Sumber: Harian Metro


8 views

Comments


bottom of page