Kelantan bakal muncul negeri termaju sebaik ECRL beroperasi


Gambar hiasan

BACHOK - Kelantan bakal muncul sebagai negeri termaju apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap dibina dan beroperasi menjelang tahun 2026, selaras dengan kekayaan hasil bumi, produk pertanian dan industri pelancongannya yang amat berpotensi untuk dieksport.


Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata, produk yang dihasilkan dari ketiga-tiga elemen itu boleh dikomersial dan dieksport ke peringkat antarabangsa menerusi projek itu dari Tok Bali (stesen kargo dan penumpang) ke Pelabuhan Klang.


“Kemudahan itu disokong pula dengan pengangkutan udara menerusi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa dan laut menerusi Pelabuhan Tok Bali,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Menandatangani Memorandum Persefahaman UMK-Lembaga Kemajuan Wilayah (Perda) di UMK di sini, semalam.


Turut hadir Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Seri Mohd Suparadi Mohamad Nor dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah (Perda) dan Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan.


Dr Noor Azizi berkata, UMK akan berkerjasama dengan kerajaan Kelantan dengan menawarkan tenaga pakar bagi mengkaji cara untuk mengeluarkan bahan yang bernilai tinggi dari perut bumi, yang sebelum ini tidak banyak usaha dilakukan.


"Bagi meningkatkan hasil tani pula UMK akan berkerjasama dengan China untuk menggunakan pelbagai kaedah bagi meningkatkan hasil pengeluaran, sehingga mampu dieksport ke luar negara," katanya.


Selain itu, UMK yang berteraskan keusahawanan pula menyasarkan untuk mengeluarkan 10 peratus daripada jumlah 9,000 graduan sedia ada sekarang, mempunyai ijazah dalam bidang keusahawanan berwibawa dalam tempoh lima tahun datang.


“Ia sebagai langkah penyediaan untuk merealisasikan peluang yang bakal timbul, bukan sahaja mereka dapat berdikari tetapi juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Suparadi menerusi memorandum itu berkata, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) akan berkerjasama dengan UMK dalam usaha mengeluar lebih ramai graduan dalam bidang keusahawanan.


Beliau berkata, sebelum ini Tekun Nasional berjaya mengeluarkan usahawan secara konvensional iaitu di peringkat kampung sahaja dan tidak mampu untuk diketengahkan. - Bernama


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #ECRL #Kelantan

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.