top of page

'Kekalkan kami di sini' - Peniaga


KUALA LUMPUR 6 Mac - Kumpulan peniaga di Medan Selera Semarak, di sini mahu pihak pemaju dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berunding bagi menyelesaikan isu pengambil alihan dan perobohan tapak perniagaan yang diusahakan mereka sejak hampir 40 tahun lalu.


Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Datuk Keramat, Mohamad Tarmizi Mohd. Akil berkata, semua 37 peniaga telah diarahkan menngosongkan medan selera berkenaan selepas pemaju mendapat perintah mahkamah.


Justeru beliau menggesa supaya rundingan dibuat bagi memastikan peniaga yang terlibat mendapat pembelaan sewajarnya.


“Rundingan ini penting bagi memastikan nasib peniaga terbela dan diberikan keadilan sewajarnya kerana tapak perniagaan ini sudah menjadi sumber rezeki mereka.


“Saya berpendapat pemaju tidak sepatutnya menghalau mereka keluar dengan begitu sahaja tanpa memberikan sebarang pampasan yang setimpal,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam himpunan peniaga medan selera berkenaan untuk mendesak supaya tapak perniagaan itu tidak dirobohkan.


Utusan Malaysia difahamkan, kerja-kerja merobohkan tapak berkenaan adalah untuk memberi laluan kepada projek pembinaan jalan termasuk ruang landskap yang bermula sejak dua tahun lalu di Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak).


Sumber: Utusan Online


27 views
bottom of page