Kedah teruskan projek litar lumba



ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan meneruskan pembinaan litar lumba di Sungai Petani dekat sini yang masih tidak selesai sejak beberapa tahun lepas.


Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun pembinaan litar lumba itu akan mengikut rancangan asal dengan kos sedia ada RM20 juta sahaja.


Menurutnya, pada peringkat awal, kos litar lumba dirancang hanyalah sekitar RM20 juta sebelum meningkat kepada RM73 juta bagi membolehkan litar lumba bertaraf antarabangsa dibina.


"Kerajaan negeri sedia meneruskan projek litar lumba, namun hanya mengikut peruntukan sedia ada sebanyak RM20 juta sebagai salah satu solusi kepada aktiviti lumba haram," katanya selepas sesi pembentangan Belanjawan 2021 Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.


Beliau berkata, beberapa prasarana seperti litar perlumbaan lasak pacuan empat roda, litar drag rance, bonded area, litar basikal gunung dan litar motocross akan disiapkan melalui peruntukan itu.


"Beberapa infrastruktur lain seperti pusat pameran, sudut pelancaran kenderaan bermotor jenama baharu, kawasan komersial dan pusat jualan juga akan dibina sekitar kawasan itu," katanya.


Muhammad Sanusi berkata, setakat ini, fasa pertama pembinaan litar lumba berkenaan telah berjalan melibatkan kerja merata tanah dan sebagainya dengan kos sebanyak RM10 juta.


"Litar lumba berkenaan bakal dilengkapi kemudahan trak, prasarana dan ciri-ciri keselamatan, kita lihat ia dapat menangani masalah rempit di jalanan yang berlaku di negeri ini.


"Kerajaan negeri yakin infrastruktur litar lumba berkenaan mampu disiapkan, namun mengalu-alukan penglibatan sektor swasta sekiranya peruntukan sedia ada tidak mencukupi," katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM2.2 juta untuk kerja naik taraf kemudahan Stadium Darul Aman, Kompleks Sukan Sultan Abdul Halim, Kompleks Sukan Muadzam Shah, Kompleks Akuatik dan Padang Lawn Bowl.


Katanya, kerajaan negeri juga akan memberikan RM8 juta kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) bagi melaksanakan program pembangunan atlet dan melahirkan bakat-bakat berpotensi,sekaligus sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2022.


"Sebanyak RM2 juta juga diperuntukkan kepada Perbadanan Stadium untuk menguruskan semua kemudahan sukan sedia ada, RM1 juta diperuntukkan untuk membina sebuah asrama atlet di Alor Setar dan RM500,000 bagi kerja naik taraf dan baik pulih prasarana sukan peringkat daerah," katanya.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #Kedah



7 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.