top of page

KDEB berdepan cabaran urus sampah banjir fasa dua


Gambar hiasan

SHAH ALAM: Operasi pengurusan sampah pasca banjir fasa kedua di seluruh negeri ini yang sepatutnya berakhir Mac ini dilanjutkan kerana terdapat pelbagai kekangan selain masih terdapat mangsa yang belum membersihkan kediaman mereka.


Lanjutan operasi itu termasuk di kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini yang menjadi antara kawasan terjejas teruk akibat banjir pada Disember lalu.


Pengarah Urusan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management, Ramli Mohd. Tahir berkata, pihaknya berdepan pelbagai cabaran pada pada fasa terkini yang melibatkan kerja-kerja pembersihan infrastruktur.


“Sebenarnya, masa sekarang kita tengah sibuk buat fasa kedua, bersihkan longkang, parit, depan rumah dan belakang rumah serta letak ramai pekerja di semua tempat contohnya di Taman Sri Muda, hari-hari kita cuba bersihkan lorong demi lorong.


“Kita sekarang gunakan mesin untuk bersihkan longkang yang mana disedut segala sampah, lumpur, tanah dan pasir yang tersisa di dalamnya di setiap lorong. Kemudian, kebanyakan kawasan yang bermasalah pula membuat pengubahsuaian yang tidak sepatutnya, contohnya tutup parit dengan lapisan konkrit di hadapan rumah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.


Beliau menyatakan, kerja-kerja pengubahsuaian lain dikesan menghalang operasi pembersihan yang turut menjadi punca kepada masalah longkang tersumbat dan air tidak dapat mengalir.


“Ada juga terdapat paip air dan kabel yang disambung melalui longkang-longkang, itu menyebabkan sampah tersangkut pada kabel yang menjadi punca longkang tersumbat. Kita akan maklum kepada pihak berkuasa tempatan (PBT),” jelasnya.


Ramli menambah, satu tarikh khusus menamatkan operasi fasa dua ini perlu dilaksanakan supaya kerja-kerja pembersihan pasca banjir dapat diselesaikan dengan kerjasama penduduk terlibat.


Dalam pada itu, beliau memaklumkan KDEB bersama PBT akan mengadakan gotong-royong besar-besaran sekali lagi pada minggu ini untuk meneruskan kerja-kerja pengumpulan dan pembersihan sampah sisa banjir.


“Kita memang akan letak tong roro dan minggu ini akan ada gotong-royong lagi sekali, saya dapat maklumat mereka minta tong roro di Taman Sri Muda, kita akan letak.


“Saya amat berharap, masih dalam sebulan lagi boleh fokus kepada operasi tersebut dan saya juga berharap penduduk mendapatkan kontraktor PBT yang akan ambil sampah bagi pengambilan sisa pengubahsuaian pada pasca banjir ini,” katanya.


12 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page