top of page

Kawalan harga bahan binaan bantu kontraktor 'bernafas' semula


Kawalan harga bahan binaan bantu kontraktor 'bernafas' semula Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Kawalan harga bahan binaan bantu kontraktor 'bernafas' semula

Usaha Malaysia mencapai matlamat menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi, dapat dilihat melalui pembinaan pelbagai projek mega yang kian rancak termasuk Transit Aliran Massa (MRT) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Dalam membincangkan pelaksanaan projek mega, komposisi pelaksanaan merangkumi beberapa komponen perlu diberikan perhatian, iaitu man power atau buruh binaan; material (bahan binaan) dan machine (jentera binaan) atau 3M.


Bagaimanapun, aspek bahan binaan boleh memberikan kesan terhadap hasrat negara menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi kerana berkait rapat dengan masalah penyiapan kerja di tapak binaan seperti besi tetulang, simen, pasir, batu bata, jubin lantai dan cat.


Pemerhatian di pasaran mendapati kadar harga bahan binaan ketika ini berlaku peningkatan drastik, malah boleh dianggap tidak masuk akal. Terdapat kenaikan harga binaan logam menyebabkan kos pembinaan projek meningkat begitu ketara.


Hasil semakan harga binaan dikeluarkan Jabatan Statistik menerusi Siaran Khas untuk Kerja-Kerja Kejuruteraan Awam pada Mei lalu, berlaku kenaikan harga sangat tinggi. Contohnya, bahan binaan bagi besi tetulang bersaiz 10 milimeter diameter di kawasan tengah meliputi Lembah Klang pada April ialah RM2,463.45 per ton, tetapi harga terkini pada April lalu ialah RM4,078.74 per ton.


Kenaikan harga bahan mentah sebanyak RM1,615.29 per ton ini dilihat amat memeritkan kepada kontraktor, pelanggan mahupun pembeli rumah. Kontraktor biasanya meletakkan nilai harga sesuatu kerja untuk item tetulang sekitar RM4,500 per ton akan berhadapan situasi dilema yang berkemungkinan tidak memperoleh keuntungan, sebaliknya mungkin akan menanggung kerugian atas kerja dijalankan.


Terdapat harga bahan binaan lain dilihat naik mendadak seperti bahan simen di Pantai Timur. Pada April 2021, harga simen ialah RM17.01 per beg, tetapi pada April lalu, ia mencatatkan kenaikan kepada RM19.28 per beg. Walaupun nilai perbezaan kenaikan hanya RM2.27 per beg, ia memberikan kesan kepada prestasi kerja kontraktor untuk menyiapkan kerja di tapak binaan.


Projek berhadapan risiko terbengkalai

Kenaikan harga bahan binaan ini menyebabkan proses kemajuan kerja menjadi perlahan kerana kontraktor amat berhati-hati membeli bahan binaan utama bagi mengelakkan kerugian besar. Kontraktor juga mungkin menarik diri daripada meneruskan projek pembinaan untuk mengelakkan kerugian besar bakal ditanggung jika ia diteruskan.


Akibatnya, projek pembinaan berhadapan risiko terbengkalai kerana kontraktor gagal menyiapkan projek pembinaan disebabkan ketidakmampuan mendapatkan bekalan bahan binaan. Pembeli rumah pula akan tertunggu-tunggu kerana rumah tidak dapat disiapkan mengikut tempoh seperti dalam perjanjian.


Oleh itu, campur tangan kerajaan amat diharapkan penggerak industri pembinaan seperti kontraktor, subkontraktor dan pembekal dalam mengawal kenaikan harga bahan binaan secara berterusan dan berkesan.


Pihak berwajib seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atau Persatuan Kontraktor perlu bergabung tenaga mencari idea dalam mengatasi masalah membelenggu.


Walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah seperti syarat Variation of Price (VOP) dalam perolehan sebut harga, tender konvensional, dan tender reka dan bina, ia hanya terhad bagi kontrak berlangsung pada tahun lalu hingga manfaat itu tidak dapat dirasai semua kontraktor.


Justeru, langkah kawalan harga seperti kerajaan lakukan dalam industri ternakan ayam amat diharapkan kebanyakan kontraktor. Ia diharap dapat membendung kenaikan harga binaan melampau.


Dengan usaha sebegini, ia dapat melegakan kontraktor terutama daripada Gred G1 hingga Gred G7 yang sememangnya menjadi tulang belakang bagi kunci pembangunan infrastruktur di negara ini daripada terus dibelenggu dengan masalah kenaikan harga bahan binaan.


Md Asrul Nasid adalah Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar UTHM, manakala Norazilan adalah Penolong Juruukur Bahan Kanan, Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda, UPSI


Sumber: Berita Harian


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page