top of page

Kajian Pelabuhan Baharu Bersepadu Labuan dilaksana tahun depan


Kajian Pelabuhan Baharu Bersepadu Labuan dilaksana tahun depan Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Pelabuhan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan melaksanakan kajian bagi memperincikan cadangan pembinaan projek Pelabuhan Baharu Bersepadu Labuan bermula tahun hadapan.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kajian itu juga sudah menerima kelulusan daripada pihak Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) untuk dilaksanakan selama setahun.


"Saya lihat asas yang sudah dibina di pelabuhan ini banyak yang kita perlu lakukan. Sebab itu, baru-baru ini kita sudah luluskan satu cadangan untuk kita adakan kajian selama satu tahun dan kita ingin mulakan tahun hadapan.


"Dari segi kosnya, sama-sama kita tunggu kajian ini dan kita akan rencanakan. Dalam keadaan ini, kita perlu lihat secara terperinci apa komponen yang kita boleh laksanakan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias, mengenai perkembangan terkini cadangan pembinaan projek Pelabuhan Bersepadu Labuan yang dirancangkan di kawasan Rancha-Rancha.


Ka Siong berkata, cadangan pembinaan projek Pelabuhan Bersepadu Labuan itu dilihat mampu menangani kesesakan lalu lintas bagi laluan keluar dan masuk pelabuhan itu, selain menampung operasi penyimpanan kargo yang terhad di Pelabuhan Labuan.


"Dijangka dengan adanya ini, peningkatan kargo di Labuan dapat ditingkatkan sehingga 200,000 TEU (unit bersamaan 20 kaki) dan 3,000 kadar singgahan kapal dalam tempoh 30 tahun.


"MOT sudah meneliti serta memperhalusi cadangan dan tiada halangan mengenai cadangan itu. LPL juga sudah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan LPL untuk membangunkan pelan induk Pelabuhan Labuan," katanya.


Beliau berkata, LPL juga dalam proses mempertingkatkan kecekapan pelabuhan, menggubal undang-undang kecil pelabuhan serta sedang memperkemaskan prosedur pelabuhan bagi memastikan Pelabuhan Labuan sentiasa berdaya saing


Sumber: Berita Harian


6 views

Comments


bottom of page