top of page

Kajian gaji minimum ikut sektor dimulakan tidak lama lagi - Kulasegaran


KOTA KINABALU: Kajian semula kadar gaji minimum mengikut sektor pekerjaan yang dicadangkan sebelum ini akan dimulakan dalam masa terdekat sebelum satu kadar baharu diperkenalkan dalam tempoh dua tahun dari sekarang.


Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata menerusi kajian semula itu, kementerian akan meneliti secara terperinci gaji minimum yang sesuai dengan keadaan semasa mengikut setiap sektor pekerjaan berbanding kadar sama rata yang digunakan sekarang.


Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan pelaksanaan kadar gaji minimum yang membolehkan ia dikaji semula sebelum satu kadar baharu dikuatkuasakan.


“Kadar minimum sebelum ini khususnya di Sabah dinaikkan kepada RM1,100 daripada RM920. Ramai peniaga merungut dan ada yang mendakwa terpaksa menutup beberapa premis kerana berdepan kos tinggi.


“Sekarang, kadar gaji minimum dikuatkuasakan sama rata untuk semua pekerja tanpa mengira sektor. Jadi kerajaan akan melihat untuk mewujudkan kadar gaji minimum berdasarkan sektor, contohnya perladangan satu kadar gaji, begitu juga dengan sektor perhotelan dan sektor lain,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), yang turut dihadiri Ahli MEF, Prof Madya Dr Michael Chiam, di sini, hari ini.


Kulasegaran berkata, kadar gaji minimum mengikut sektor lebih sesuai dan mudah dilaksanakan berbanding kadar sedia ada yang dikuatkuasakan untuk semua sektor pekerjaan.


Dalam hal lain, beliau berkata pihaknya akan melihat kemungkinan untuk memperluaskan beberapa akta berkaitan pekerja ke Sabah dan Sarawak menerusi pindaan yang sedang dalam kajian, antaranya membabitkan Akta Standard Minimum Perumahan Kemudahan Pekerja 1990.


Katanya, ketika ini akta itu hanya membabitkan pekerja di Semenanjung, namun tidak di Sabah dan Sarawak memandangkan kedua-dua negeri mempunyai undang-undang berkaitan buruh yang berasingan.


“Kita akan bincang dengan kerajaan di kedua-dua negeri berkaitan akta ini supaya pekerja di Sabah dan Sarawak juga mendapat kemudahan perumahan seperti di Semenanjung,” katanya.


Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk mewujudkan majlis penasihat buruh yang berasingan untuk Sabah bagi menangani isu pekerja di negeri ini kerana situasinya berbeza dengan Semenanjung.


Ketika ini, hanya ada Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) yang ahlinya terdiri daripada badan seperti MEF dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).


Sumber: Berita Harian


12 views
bottom of page