top of page

Kaji semula projek tambakan laut


Nelayan pesisir pantai, Mohd Fauzi Idris, mengeluarkan hasil tangkapan laut dari jaring ketika tinjauan di jeti nelayan Sungai Lereh. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan kebimbangan terhadap projek tambakan laut sebahagian Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ) yang dinyatakan dalam manifesto Barisan Nasional (BN).


Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berhubung projek itu tidak selari dengan rungutan penduduk selama ini.


Muhammad Faisal berkata, kenyataan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu bahawa nelayan boleh meneruskan kehidupan sebagai nelayan kerana permukaan laut yang luas, dilihat sebagai tidak bertanggungjawab.


Katanya, Ab Rauf seolah-olah tidak mempedulikan nasib golongan nelayan yang terkesan akibat perubahan ekosistem hidupan marin yang ditangkap.


"Ini terutama udang geragau (bahan untuk membuat belacan dan cencaluk) yang hidup secara khusus di persisir pantai.


"M-WEZ dilapor membabitkan kawasan seluas 10,000 hektar, menjangkau sepanjang Pantai Kundur, Kelebang, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Telok Mas, sehingga ke bahagian utara Serkam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Muhammad Faisal berkata, alasan bahawa penambakan laut sudah lama diadakan tidak seharusnya dijadikan justifikasi.


"Rungutan masyarakat Melaka terhadap projek tambakan laut adalah realiti berdasarkan penambakan laut sebelum ini.


Tambakan laut akan mempengaruhi perubahan arus ombak yang boleh mengakibatkan hakisan dan banjir, selain kemusnahan batu karang serta habitat.


"Pesisiran pantai terutama paya bakau adalah sumber makanan kepada hidupan laut.


"Jika rantaian ini diputuskan, jumlah ikan di laut boleh mengalami kepupusan dan ini belum mengambil kira kesan pencemaran yang berlaku di laut lagi," katanya.


Terdahulu, Ab Rauf dilaporkan berkata, nelayan di Melaka masih boleh menjalankan aktiviti perikanan seperti biasa kerana kawasan laut luas dan bukan terhad di kawasan penambakan.


Katanya, isu penambakan laut di Melaka itu adalah perancangan kerajaan negeri untuk menarik pelabur di kawasan yang berpotensi untuk dimajukan.


Sumber: Berita Harian

8 views
bottom of page