top of page

KAEDAH KERJA UNDI BERI PELUANG SAMA RATA KEPADA KONTRAKTOR


Gambar hiasan

KOTA BHARU, 30 Mei (Bernama) -- Perolehan projek kecil secara undian memberi peluang sama rata kepada semua kontraktor G1 hingga G4 sebelum layak mendapat tender penyelenggaraan jalan Persekutuan di seluruh negara.


Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata kaedah kerja undi itu memberi manfaat kepada lebih 100,000 kontraktor G1 hingga G4 di negara ini.


"Jumlah kontraktor di Malaysia seramai 140,000 orang dan 80 peratus daripada mereka ialah kontraktor Gred G1 dan G4 yang sebelum ini mempunyai peluang kecil bagi mendapatkan projek.


"Sebelum ini projek penyelenggaraan jalan Persekutuan menggunakan beberapa kaedah lain termasuk tender terbuka, kaedah konvensional atau biasa dan kaedah terpilih," katanya pada sidang media di sini hari ini.


Menurut Mohd Rosdi, kaedah sebelum ini memberi keraguan dalam kalangan kontraktor walaupun didakwa ada 'ketelusan'.


Kerja undi berkenaan akan menghapuskan keraguan sebelum ini yang terdapat dalam kalangan kontraktor bagi mendapatkan sesuatu projek sekali gus kerajaan sendiri akan mendapat kredit dengan pelaksanaan kerja undi itu.


"Kaedah sebelum ini tidak memberi peluang kepada semua kontraktor untuk mendapatkan projek, seterusnya mereka terpaksa gulung tikar kerana kebanyakan projek dimonopoli oleh kartel," katanya.


Beliau berkata kaedah kerja undi berkenaan juga dibuat melalui konsesi, tetapi kerajaan menetapkan pihak konsesi tidak boleh mendapatkan untung yang tinggi dan hanya boleh mengambil tidak lebih 10 peratus sahaja.


"Kaedah ini kesepakatan antara pihak konsesi, kontraktor dan Kementerian Kerja Raya (KKR) yang bekerjasama dalam merealisasikan pelaksanaan projek.


"Ini idea baharu daripada Kerajaan MADANI dan KKR kerana mencetuskan fenomena dalam sektor pembinaan, selain turut menghargai Kementerian Kewangan," katanya.


Sebelum ini media melaporkan, kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi kerja-kerja penyelenggaran jalan Persekutuan yang akan dilaksana kontraktor kecil Bumiputera di seluruh negara pada tahun ini.


Sumber: Bernama


4 views

Comments


bottom of page