top of page

Kadar bina, baik pulih rumah PPRT dinaikkan


Kadar bina, baik pulih rumah PPRT dinaikkan Berita Harian www.bharian.com.my
Kabinet bersetuju menaikkan kadar kos pembinaan dan baik pulih rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kini sudah dijenamakan kepada Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PPRKM). - Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju menaikkan kadar kos pembinaan dan baik pulih rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang kini sudah dijenamakan kepada Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PPRKM).


Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kadar harga baharu bagi projek bina baru PPRKM dinaikkan daripada RM56,000 kepada RM66,000 seunit di Semenanjung.


"Bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dinaikkan daripada RM68,000 kepada RM79,000 seunit.


"Bagi projek baik pulih rumah PPRKM pula, dinaikkan pada kadar maksimum RM15,000 di Semenanjung. Sementara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar maksimumnya adalah RM17,000," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulan September 2022 kementeriannya di Wisma FELCRA, hari ini.


Turut sama hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad serta Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.


Sebelum ini, kadar program baik pulih rumah PRKM di Semenanjung adalah RM13,000 dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.


Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, kenaikan harga itu akan membantu pihak kontraktor PPRKM menangani isu peningkatan kos bahan binaan yang menyebabkan mereka gagal menyiapkan projek berikutan ketiadaan margin keuntungan kerja.


"Kenaikan ini juga bagi mengekang peningkatan harga bahan binaan yang perlu ditanggung oleh kontraktor, terutamanya sejak Mei lalu.


"Kita berharap kontraktor PPRKM boleh meneruskan projek mereka selepas ini kerana margin keuntungan dijamin mencukupi dengan nilai baharu yang diluluskan itu," katanya.


Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebelum ini sudah meluluskan permohonan bina baru rumah PPRKM sebanyak 2,153 unit dan baik pulih sebanyak 11,892 buah rumah.


"Keputusan ini diambil sebagai langkah proaktif kerajaan bagi mengimbangi keperluan khususnya golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar untuk menerima bantuan rumah yang selamat dan selesa seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang ambil cakna akan keperluan rakyat," katanya.


Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan replika kunci rumah PPRKM yang siap dibina kepada 10 penerima, selain Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Anak FELCRA 2021, Anugerah Peningkatan Produktiviti Estet PadiMusim 1/2022 dan Anugerah Khidmat Setia FELCRA.


Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai fokus KPLB dalam Belanjawan 2023, beliau berkata kementeriannya akan terus menumpukan kepada usaha meningkatkan prasarana rakyat di luar bandar meliputi aspek jalan, bekalan elektrik dan sebagainya.


Sumber: Berita Harian


8 views
bottom of page