top of page

KAB dapat projek solar PV di Thailand


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB), melalui unit tidak langsungnya, Energy Optimization Co Ltd (Energy Optimization) memperoleh empat projek sistem fotovoltaik solar (PV) di Thailand di bawah model penyampaian projek bina, operasi dan pindah (BOOT).


Projek PV solar itu akan membabitkan perbelanjaan modal keseluruhan sekitar RM11.4 juta dan mempunyai gabungan kapasiti terpasang sebanyak 3,912 kilowatt peak (kWp), kata KAB dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut laporan tahunan terkini syarikat itu, Energy Optimization adalah 49.997 peratus dipegang oleh KAB Technologies (Thai) Co Ltd, manakala 89 peratus dimiliki oleh anak syarikat milik penuh KAB iaitu KAB Technologies Sdn Bhd.


KAB berkata, empat projek itu terdiri daripada perjanjian pembelian tenaga (PPA) 20 tahun yang ditandatangani pada 1 April 2021 dengan Tanaosree Thai Chicken Co Ltd untuk sistem PV solar berkapasiti 966-kWp.


Dua PPA bagi tempoh 15 tahun itu ditandatangani pada 11 Mei 2021 dengan Aapico PCL masing-masing untuk sistem PV solar 999kWp dan sistem PV solar 450kWp, manakala PPA selama 10 tahun ditandatangani pada 14 Mei, 2021 dengan Roongthavorn Plastic Co Ltd untuk sistem PV solar 1,497kWp.


KAB berkata, pembangunan sistem PV solar terbabit dijadual akan selesai dalam tempoh setahun selepas menandatangani PPA itu.


Pengarah Urusannya, Datuk Lai Keng Onn, berkata kejayaan syarikat kejuruteraan elektrik dan mekanikal itu memasuki pasaran Thailand adalah bukti kejayaan pelaksanaan strategiknya kerana syarikat itu terus mengembangkan segmen perniagaan berkenaan secara agresif.


"Kami kini sedang menyelesaikan beberapa projek di Malaysia dan Thailand dengan gabungan kapasiti 10,206kWp. Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, kami yakin dapat mendapat projek itu dalam bulan berikutnya atau seterusnya.


"Ini dijangka dapat meningkatkan keuntungan kami dengan kestabilan pendapatan berulang melalui pelaksanaan PPA," katanya.


Melangkah ke hadapan, beliau berkata KAB menawarkan keseluruhan kapasiti terpasang kira-kira 62,703kWp sistem PV solar di Malaysia, Thailand dan Vietnam, ia akan melonjakkan kedudukan syarikat itu di rantau Asia.


"Susulan daripada agenda kemampanan dan tenaga boleh diperbaharui yang menjadi topik perbincangan utama antara syarikat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka, kami menjangkakan akan wujud pertumbuhan permintaan untuk perkhidmatan daripada segmen perniagaan ini dalam beberapa tahun akan datang," katanya. -BERNAMA


Sumber: Berita Harian

19 views
bottom of page