top of page

JWP sasar pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik


Gambar hiasan: Contoh projek Program Residensi Wilayah dan Residensi MADANI

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) menyasarkan pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun sehingga 2028 ini menerusi Program Residensi Wilayah dan Residensi MADANI.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, Residensi Wilayah memfokuskan kepada warga Wilayah Persekutuan yang berpendapatan sederhana dan ke bawah atau M40.


Menurutnya, Residensi MADANI pula memfokuskan kepada golongan sasar iaitu kumpulan rentan (miskin tegar), miskin dan juga mereka yang berpendapatan sederhana rendah dan ke bawah atau B40.


“Ketika ini sebanyak 62,968 unit Residensi Wilayah merangkumi yang telah siap, sedang dalam pembinaan dan yang telah menerima Perintah Pembangunan (DO) melibatkan 93 projek secara keseluruhan telah berjaya dicapai di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.


“Bagi Residensi MADANI pula sebanyak 5,482 unit melibatkan 10 projek sedang dalam pembinaan dan perancangan melibatkan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.


Beliau menjawab soalan mengenai rancangan terkini untuk meningkatkan bekalan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 di Wilayah Persekutuan.


Dr Zaliha berkata, kesemua projek pembangunan Residensi Wilayah dan Residensi MADANI yang sedang dalam pembinaan dijangka siap antara 2025 hingga 2027.


Katanya, ketika ini pelaksanaan Residensi Wilayah dan Residensi MADANI tidak memberi sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan kerana segala kos ditanggung sepenuhnya oleh pemaju perumahan melalui kaedah subsidi silang.


Jelas beliau, ia dilaksanakan menerusi insentif dan kemudahan yang diberikan kepada mana-mana pemaju perumahan yang berminat untuk membangunkan rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan.


Sumber: Wilayah Ku

Comments


bottom of page