top of page

Johor peruntuk RM10.8 juta naik taraf pangsapuri di Kangkar


Johor peruntuk RM10.8 juta naik taraf pangsapuri di Kangkar Malaysia Gazette www.malaysiagazette.com
Kerajaan Johor memperuntukkan RM10.8 juta untuk kerja penambahbaikan pangsapuri Kangkar Pulai.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM10.8 juta untuk kerja-kerja menaik taraf pangsapuri di Kangkar, Pulai.


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM8.8 juta akan digunakan untuk mengecat semula blok Kenari dan Jentayu, RM1 juta akan digunakan untuk pembinaan dewan komuniti terbuka.


Selain itu, tambahnya, sebanyak RM600,000 akan digunakan untuk pembinaan pejalan kaki manakala RM200,000 pula untuk pembinaan perpustakaan berkonsepkan kontena berkuasa solar yang pertama di kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Malaysia dan RM200,000 adalah bagi kegunaan tapak meletak kenderaan.


“Terdapat 4 blok di pangsapuri ini iaitu Kenari, Jentayu, Merak dan Nuri dengan kira-kira 6,000 penduduk dan mereka seharusnya dapat memanfaatkan program ini sebaik mungkin.


“Antara lain saya dapat lihat terdapat Kebun Komuniti Blok Kenari di mana penduduk boleh bercucuk tanam untuk kegunaan diri sendiri dan keluarga, Pusat Pengumpulan Bahan Buangan Kitar Semula ‘Sisa Segak’, Galeri Komuniti Kenari serta Pondok Wakaf Komuniti Kenari Bangsa Johor Bahagia.


“Tahniah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan agensi-agensi lain yang turut menyumbang kepakaran dalam aspek pengurusan fasiliti, rekabentuk bangunan, pembangunan sosial dan transformasi digital di pangsapuri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Onn Hafiz berkata, program itu akan dapat meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar dan ia boleh diterjemahkan di kawasan lain di Johor pada masa hadapan.


Sementara itu, beliau memberitahu, program tersebut tidak boleh dilaksanakan secara sekali gus dan ia harus ada kesinambungan dan komitmen semua pihak agar mencapai matlamatnya.


“Saya dapat lihat ia juga boleh mengambil contoh program komuniti di perumahan HDB di Singapura sebagai penanda aras kemajuan.Untuk ini, saya bersetuju ahli-ahli jawatankuasa perumahan ini membuat lawatan ke HDB bagi melihat dan belajar cara negara maju menguruskan komuniti di sana.


“Dengan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri, UTM dan komuniti sendiri, saya yakin komuniti perumahan di sini boleh menjadi lebih baik, malah mungkin lebih daripada di HDB. Hasrat saya untuk mejadikan perumahan ini sebagai contoh bukan sahaja di Johor, tetapi juga di negara ini,” ujarnya.


Terdahulu beliau melawat Pangsapuri Kangkar Pulai untuk meninjau projek komuniti perintis ‘Bangsa Johor Bahagia’.


5 views

Comments


bottom of page