top of page

JLand diberi masa 3 bulan selesai isu pangsapuri


Penduduk menunjukkan dinding pangsapuri yang retak. - Foto fail NSTP

JOHOR BAHRU: Pemaju Johor Land Berhad (JLand) dan kontraktor diberi masa kurang tiga bulan untuk menyelesaikan kerosakan Pangsapuri Impian Jauhar di Bandar Baru Majidee, di sini.


Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata

kerajaan negeri memandang serius masalah itu dan mahu pihak terbabit menyelenggara serta menyelesaikan semua masalah di kediaman itu dengan segera.


Beliau berkata, masalah yang dibangkitkan penduduk adalah serius seperti rumah retak, paip air bocor, lif rosak dan tekanan air kecil.


"Kerajaan negeri bagi tempoh kepada pemaju projek iaitu JLand dan kontraktor berkenaan untuk selesaikan segera masalah ini. Daripada 320 unit rumah yang ada di pangsapuri ini, 179 rumah yang retak sudah dibaiki manakala 15 lagi akan diselesaikan segera.


"Mereka perlu simen tempat yang retak sebelum cat semula. Masalah lif rosak sudah dibaiki hari ini (semalam) dan dimaklumkan semua lif di blok satu dan blok dua pangsapuri ini sudah boleh berfungsi.


"Bagi masalah tekanan air, ia akan diatasi dengan membeli pam air buatan tempatan atau diimport. Pihak kontraktor memohon masa kira-kira 10 minggu untuk menyediakannya.


"Mereka perlu melihat keseluruhan sistem paip yang ada bagi mengatasi masalah ini, termasuk bahagian paip air yang bocor dengan menggunakan kaedah 'water proof'. Penghuni kena beritahu semula kontraktor kawasan mana yang bocor," katanya.


Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melakukan pertemuan dengan penduduk, pihak pengurusan tertinggi JLand dan kontraktor terbabit di pekarangan pangsapuri, di sini, petang semalam.


Mengenai isu ketiadaan pengawal keselamatan, Mohd Jafni berkata, pihak kontraktor berjanji akan menyediakan dua pengawal keselamatan pada sebelah siang dan seorang pada sebelah malam.


Katanya, langkah itu bertujuan menangani masalah kecurian dan menjamin keselamatan penduduk di pangsapuri berkenaan selepas dua pengawal keselamatan sebelum ini tidak lagi datang bekerja.


"Saya akan pantau dan datang semula ke pangsapuri ini minggu depan untuk melihat perkembangannya. Kalau kontraktor yang ada tidak 'perform', kita akan tukar dengan kontraktor lain.


"Kontraktor juga perlu bertanggungjawab menyelenggara landskap di sini. Penduduk sudah membayar kos penyelenggaraan RM106 sebulan tetapi kontraktor tidak buat kerja, beri alasan tidak cukup pekerja. Penduduk membuat aduan semua masalah ini sejak enam bulan lalu," katanya.


Terdahulu, media melaporkan, penduduk kecewa kerana tidak sampai setahun menghuni di pangsapuri itu, bahagian dalam dan luar rumah, tangga, koridor dan luar bangunan retak selain paip air bocor, lif rosak serta tekanan air kecil.


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page