top of page

JKKP siasat tiga aspek insiden tembok jatuh


Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan SUKE yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) menyiasat tiga aspek membabitkan keselamatan, aktiviti pembinaan dan kualiti struktur binaan susulan insiden konkrit struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) jatuh dan menimpa kenderaan dipandu seorang wanita, semalam.


Ketua Pengarahnya, Ir Omar Mat Piah, berkata siasatan itu dilakukan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja dan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) (Akta 520).


Katanya, buat masa ini, JKKP sudah mengeluarkan arahan menghentikan kerja serta-merta di kawasan kemalangan bagi membolehkan pegawainya menjalankan siasatan.


"Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Kita kena periksa terlebih dahulu sama ada ketika kejadian, ada aktiviti pembinaan atau sebaliknya. Jika tiada aktiviti pembinaan, mungkin berpunca daripada kualiti dan pemasangan struktur kekal terbabit.


"Buat masa ini, arahan menghentikan kerja sudah dikeluarkan kepada kontraktor terbabit. Pegawai JKKP akan menyiasat insiden ini dengan menyeluruh bagi mengelak kejadian serupa berulang," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.


Sementara itu, pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Law Teik Hua, menggesa kontraktor memasang jaring keselamatan serta mengamalkan jarak pembinaan selamat terutama membabitkan tapak pembinaan tinggi yang hampir dengan laluan awam bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.


Beliau berkata, insiden sebuah kenderaan ditimpa tembok konkrit daripada struktur pembinaan SUKE, tidak seharusnya berlaku jika aspek keselamatan dipatuhi sepenuhnya.


"Ini bukan kejadian pertama. Sudah banyak kali berlaku di tempat lain. Dalam kejadian terbaharu ini, kontraktor seharusnya memasang jaring keselamatan yang mematuhi standard piawaian walaupun struktur kekal itu sudah siap dipasang kerana kita tidak boleh menjangkakan apa yang akan berlaku.


"Kontraktor juga perlu membuat aliran trafik di bawah struktur pembinaan dengan mengamalkan jarak yang selamat supaya sekiranya sebarang struktur itu mengalami kerosakan dan sebagainya, serta jatuh, ia tidak akan menimpa orang awam yang melalui laluan berkenaan," katanya.


Teik Hua berkata, kontraktor juga perlu memastikan pemasangan sebarang struktur dilakukan dengan baik dan sempurna selain memastikan pekerjanya menjalani latihan mencukupi dalam aspek keselamatan di tapak binaan.


Jelasnya, tindakan menaikkan kadar denda atau mengenakan hukuman lebih berat tidak akan menghentikan masalah itu daripada berulang sebaliknya, penguatkuasaan aspek keselamatan perlu dititik beratkan.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan SUKE yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).


Insiden itu menyebabkan wanita berkenaan terperangkap dalam kereta dipandunya yang remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz satu meter persegi itu.


Mangsa dilaporkan hanya cedera pada tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan dalam kejadian berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang.



10 views
bottom of page