top of page

JKKP siasat kes perancah besi lebuh raya DASH runtuh


JKPP mula siasatan kejadian perancah lebuh raya DASH runtuh.

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memulakan siasatan berhubung kejadian perancah besi digunakan dalam pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) runtuh semalam.


Ketua Pengarahnya, Ir Zailee Dollah, berkata siasatan merangkumi aspek teknikal bagi mengenal pasti punca kejadian yang mengakibatkan dua pekerja warga Bangladesh cedera.


"Persoalan sama ada insiden itu berlaku kerana kontraktor atau syarikat pembinaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan masih disiasat.


"Kita memerlukan gambaran dan input penuh mengenai apa yang berlaku sebelum membuat sebarang kesimpulan.


"Masih terlalu awal juga untuk kita maklumkan jangka masa siasatan kemalangan itu kerana ia baru berlaku," katanya pada BH, hari ini.


Semalam, media melaporkan dua mangsa berusia lingkungan 20-an dan 40-an cedera selepas terkena serpihan batu konkrit dan kerangka besi di lokasi kejadian.


Pemaju DASH, Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Berhad dipetik berkata, kemalangan tidak membabitkan orang awam atau pengguna lebuh raya kerana kejadian berlaku dalam kawasan pembinaan bertutup.


Selain itu, Zailee berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan proses pembinaan terutama di kawasan berisiko tinggi dari semasa ke semasa untuk mengelak kejadian tidak diingini.


"Kita sentiasa meminta maklum balas dan laporan daripada pihak berkaitan berhubung proses projek pembinaan.


"Ada situasi kita akan turun padang ke kawasan itu untuk melihat sendiri adakah mereka patuh atau tidak terhadap SOP ditetapkan.


"Dalam hal ini, syarikat atau kontraktor terbabit perlu memastikan kawasan pembinaan serta pembangunan dilaksanakan kekal berada dalam persekitaran selamat dan sihat," katanya.


Sumber: Berita Harian

156 views

Comments


bottom of page