top of page

JKKP Perak kesan pegawai keselamatan salah guna lesen kompetensi


BATU GAJAH - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengeluarkan 96 kompaun hasil pemeriksaan di 30 tapak binaan sempena operasi ‘Cegah Jatuh dan Cegah Runtuh’ di negeri ini.


Pengarahnya, Ir Zamzurin Maarof berkata, jumlah kompaun itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan turut dikenakan ke atas seorang pengurus projek selepas didapati menggaji operator kren menara yang tidak berdaftar dengan JKKP.


Menurutnya, tindakan membenarkan pihak yang tidak sepatutnya mengendalikan kren menara itu bukan sahaja mendatangkan risiko bahaya kepada pekerja tetapi orang awam.

“Tindakan kompaun ke atas individu jarang berlaku kerana kebiasaannya dikenakan ke atas kontraktor, tetapi kali ini kita perlu ambil tindakan tegas kerana sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap keselamatan di tapak bina, pengurus projek tidak harus melakukan pengabaian aspek keselamatan yang boleh menjurus kepada kemalangan.


“Pengurus Projek tersebut telah dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 dan kita sedang dalam proses menyiapkan kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan terhadap majikan kerana ingkar terhadap notis larangan dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas menutup ‘Cegah Jatuh dan Cegah Runtuh’ di sebuah tapak pembinaan di Kawasan Perindustrian Bemban, hari ini.


Beliau berkata, operasi yang dijalankan mulai 25 Februari hingga 25 Mac lalu itu turut mengeluarkan 155 notis larangan bersama 65 notis pembaikan dan 68 surat arahan kepada kontraktor kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.


Katanya, JKKP turut mengarahkan dua daripada 30 tapak diperiksa disita sepenuhnya, manakala 153 aktiviti kerja disita atas pelbagai kesalahan yang memerlukan tindakan pembaikan segera.

“Sebarang aktiviti melainkan kerja pembersihan sama sekali tidak dibenarkan di tapak binaan itu sehinggalah aspek dan keperluan perundangan dipatuhi,” katanya.


Zamzurin berkata, sepanjang sebulan operasi dijalankan, pihaknya telah membuka kertas siasatan untuk lima pendakwaan terhadap majikan, kontraktor dan pegawai keselamatan dan kesihatan yang gagal menjalankan tanggungjawab.


Jelasnya, daripada jumlah itu, dua daripadanya merupakan kes di mana pegawai keselamatan dan kesihatan dilantik telah salah guna lesen kompetensi dimiliki di tapak pembinaan.


“Lain-lain tindakan adalah gagal melantik pegawai keselamatan dan kesihatan di tapak projek bernilai RM20 juta ke atas dan ingkar notis yang telah dikeluarkan JKKP,” katanya.


Sepanjang tiga bulan pertama ini, tujuh kemalangan maut melibatkan pekerja direkodkan dengan tiga daripadanya adalah kematian di tempat kerja.


Tahun lalu, JKKP Perak telah mengambil lima tindakan pendakwaan dengan jumlah denda RM70,000 dan mengeluarkan 152 kompaun dengan jumlah keseluruhan RM212,000 kepada majikan di sektor pembinaan.


Sumber: Sinar Harian


106 views

Comments


bottom of page