top of page

JBALB diminta kaji, teliti segera projek bekalan air bersih di Daro


Safiee semasa membahaskan Belanjawan Negeri 2025 pada Persidangan DUN hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) diminta untuk mengkaji dan meneliti segera projek bekalan air bersih di Daro, yang masih lagi berlarutan.


Safiee Ahmad (GPS-Daro) berkata, meskipun beberapa projek menaik taraf bekalan air telah siap dan sedang dilaksanakan, namun didapati terdapat projek yang merupakan komponen penting bagi menyelesaikan tekanan air rendah masih lagi terbengkalai. 


“Projek tangki aras tinggi berkapasiti 2MLD yang hanya tinggal satu peratus sahaja lagi untuk disiapkan tetapi nampaknya masih belum dapat disiapkan, di mana saya dimaklumkan bahawa meskipun dua kali tender kerja penyambungan telah dipanggil tapi tidak ada kontrkator yang berminat. 


“Sehubungan itu, saya memohon agar pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) dapat mengkaji dan meneliti segera projek ini termasuk menilai semula baki peruntukan yang mungkin tidak mencukupi bagi menyiapkan projek ini sepenuhnya,” katanya pada Persidangan DUN hari ini.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan Belanjawan Negeri 2025 yang dibentangkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Isnin lepas.


Tambah Safiee, apa yang membimbangkan adalah kelewatan menyiapkan projek itu bukan sahaja boleh menjejaskan bekalan air di Daro tetapi boleh menyebabkan implikasi dengan berlakunya kerosakan yang semakin serius yang akhirnya memerlukan kos pembaikan lebih besar. 


Sementara itu berhubung kemudahan kesihatan di Daro, beliau merayu kepada agensi pelaksana projek Klinik Kesihatan Daro dan Klinik Pergigian Daerah Daro, agar menyegerakan pelaksanaannya.


“Saya ingin menzahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah meluluskan ‘Notice of Change’ (NOC) tambahan bagi melaksanakan, pertamanya Klinik Kesihatan Daro Jenis 4 bernilai RM50 juta yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak.


“Kedia adalah kerja-kerja menyiapkan Klinik Pergigian Daerah Daro yang telah terbengkalai sebelum ini yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Malaysia bernilai RM12.08 juta. 


“Memandangkan kedua-dua projek ini amat diperlukan, namun ia telah tertangguh untuk sekian lama disebabkan keperluan pertambahan peruntukan, maka saya mewakili masyarakat Daro merayu agar agensi-agensi pelaksana yang berkenaan dapat menyegerakan pelaksanaannya,” tegasnya.


Beliau yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) mencadangkan pendedahan belia di peringkat antarabangsa turut dilaksanakan dengan memberi peluang serta memperuntukkan dana khusus untuk pertubuhan belia seperti SABERKAS.


Ia katanya sama ada melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak untuk menghantar peserta ke acara atau program di peringkat anatarabangsa. 


“SABERKAS yang merupakan sebuah pertubuhan belia yang terbesar dan tertua di Sarawak ingin merakamkan setingi-tinggi penghargaan kepada Premier di mana belanjawan kali ini telah memperuntukkan sejumlah besar dan khusus untuk memperkasakan golongan belia di negeri ini.


“Ini sudah pasti merupakan satu perkhabaran baik yang perlu dimanfaatkan oleh para belia. 


“Dengan cara ini, ia bukan sahaja memberikan pendedahan dan pengalaman tetapi juga boleh membangunkan bakat serta keyakinan diri yang tinggi dalam kalangan belia di negeri ini untuk bersaing dengan belia-belia di seantero dunia,” katanya.  


Komentar


bottom of page